DUNGUN: Seorang murid perempuan tahun dua di sebuah sekolah rendah di
sini dipercayai dicabul dalam stor di sekolahnya kira-kira 1.30 tengah
hari Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah
berkata pihaknya menerima laporan kes tersebut semalam dan siasatan
lanjut sedang dijalankan.
"Rakaman percakapan pengadu iaitu ibu mangsa serta guru kelas telah
diambil dan rakaman video litar tertutup (CCTV) juga telah diteliti...
berdasarkan siasatan awal, mangsa yang telah tamat persekolahan waktu
pagi dan menunggu sesi kelas petang didatangi seorang lelaki yang tidak
dikenali yang memintanya ke stor berkenaan.
"Tanpa banyak soal, mangsa mengekori suspek, setibanya di stor itu,
mangsa enggan mengikut suspek masuk ke dalam stor tersebut hingga
menyebabkan suspek terus mendukung mangsa ke dalam stor," katanya dalam
kenyataan media semalam.
Wan Abd Aziz berkata tindakan tersebut menyebabkan mangsa menjerit
hingga suspek panik dan terus melepaskan mangsa dan suspek kemudiannya
melarikan diri dengan memanjat tembok sekolah.
"Hasil pemeriksaan rakaman CCTV menampakkan suspek berjalan melalui
blok bangunan sekolah tersebut seorang diri dan mangsa mengecam suspek
melalui rakaman CCTV berkenaan.
"Pihak polis telah mengenal pasti identiti suspek dan kami kini sedang giat mengesan suspek," kata Wan Abd Aziz.
Menurut beliau siasatan awal mendapati kes tersebut bukanlah cubaan
menculik seperti yang diviralkan di laman sosial tetapi ia menjurus
kepada serangan seksual.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Kesiksaan kerana mencabul.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu,
Shafruddin Ali Hussin berkata semua sekolah di seluruh negeri telah
diarah meningkatkan tahap keselamatan di dalam kawasan sekolah terutama
melibatkan kemasukan pelawat.
"Pengawal keselamatan perlu memantau perjalanan keluar masuk pelawat dan pastikan waktunya dicatat sebagai rekod rujukan.
"CCTV juga perlu dipantau oleh pengurusan sekolah agar kes seumpama ini tidak lagi berulang di masa depan," katanya.
Shafruddin berkata isu keselamatan di sekolah adalah tanggungjawab
bersama semua warga pendidik dan petugas di sekolah yang terlibat.
"Setakat ini, saya dimaklumkan ini adalah kes pertama cubaan mencabul
berlaku di dalam kawasan sekolah dan dalam kes ini kami bersyukur kerana
murid yang terlibat bertindak pantas untuk menjerit dan berlari
menyelamatkan diri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.