Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali digesa
menjelaskan apakah hubungannya dengan syarikat pembangunan gergasi,
Gamuda Berhad membabitkan kontroversi ubah status lot tanah yang
terletak dalam kawasan Paya Indah Wetlands.
ADUN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif berkata rakyat Selangor
tertanya-tanya bagaimana lot tanah 68054 berjaya diubah statusnya
daripada pertanian kepada pembangunan, sebaik sahaja Azmin diangkat
menjadi menteri besar.
Lot tanah 68054 itu sejak 22 tahun lalu gagal diubah status tanahnya
berikutan ia terletak dalam zon hijau - zon yang dilarang daripada
dibangunkan secara komersial, atas alasan keselamatan.
Lot itu dimiliki syarikat swasta, Salak Land Development Sdn Bhd sebelum dijual kepada Gamuda dengan harga RM784 juta.
"Segala tuduhan amat serius, khususnya melibatkan bagaimana sebidang
tanah yang empat menteri besar terdahulu tidak luluskan perubahan status
tanah pertanian kepada pembangunan kerana ia melibatkan zon hijau,
tetapi mengapa ketika Azmin mengambil alih pentadbiran, hal ini boleh
berlaku?
"Ia melibatkan perkara yang menjadi tanda tanya, khususnya rakyat
Selangor, apakah ia mempunyai kaitan dengan proses penstrukturan semula
air yang melibatkan syarikat yang sama?," soalnya ketika dihubungi
Antarapos, hari ini.
Gamuda memiliki 40 peratus saham dalam Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).
Justeru Shahrum menyoal adakah Azmin mengadakan rundingan dengan Gamuda
bagi membolehkan kerajaan negeri Selangor mengambil alih aset air
darpada SPLASH.
"Semua tahu semua tahu bahawa Gamuda Berhad mempunyai tanah di Lot
68054 dan ia juga mempunyai sebanyak 40 peratus perkongsian saham dalam
SPLASH, yang sehingga kini urusan penstrukturannya belum dimuktamadkan
dengan tempoh yang ditetapkan sehingga September ini," ujarnya.
Sehingga kini, hanya SPLASH bermain tarik tali dalam isu pengambilhan
syarikat konsesi air Selangor, sementara SYABAS, ABBAS dan Puncak Niaga
sudahpun menyatakan persetujuan mereka.
Selain isu saham dalam SPLASH, Gamuda juga dikatakan menjalinkan
kerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dalam projek membina rumah
mampu milik yang bernilai RM1.3 bilion.
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin
atau Chegubard, individu yang bertanggungjawab mendedahkan isu Paya
Indah Wetlands ini mendakwa tapak paya itu diubah statusnya daripada
pertanian kepada kawasan pembangunan perumahan.
Shahrum kemudian bertanyakan adakah jenis perumahan yang bakal dibina
di kawasan itu memandangkan lot 68054 itu dibeli dengan harga ratusan
juta ringgit.
"Saya difahamkan tanah di sini bernilai ratusan juta ringgit, maka apakah bentuk perumahan yang dijalankan di kawasan itu?
"Apakah pemaju nak buat projek rumah mampu milik? Saya tidak fikir
sebegitu sebab tanahnya pun mencecah tujuh, lapan ratus juta ringgit,"
tegasnya lagi.
Bimbang dengan kemusnahan ekosistem di kawasan itu, Shahrum mendesak
supaya diadakan siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan,
Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).
Untuk rekod, kontroversi Paya Indah Wetlands ini sudahpun dilaporkan
kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 26 Ogos lalu oleh
Chegubard.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.