shahbudindotcom
Beberapa
jam setelah berlangsungnya pertemuan bersejarah antara Tun Mahathir
Mohamad dengan Anwar Ibrahim semalam, walaupun ketika itu berita dan
gambar kedua-dua tokoh berkenaan bersalaman telah tersebar luas di media
sosial, pemimpin UMNO dan penggiat media sosial berbayar yang selama
ini aktif, kelihatan senyap sunyi dan seakan terdiam seketika.
Hanya
menjelang malam, barulah terdengar banyak komen, reaksi dan ulasan
mereka mengenai pertemuan tersebut. Kemudian satu demi satu
pemimpin-pemimpin UMNO mula mengulas berkenaan detik Tun Mahathir dan
Anwar yang kini bertemu, bersalam dan berbaik semula setelah terpisah
selama 18 tahun 3 hari lamanya.
Rata-rata
pemimpin dan penggiat media sosial UMNO menganggap pertemuan itu
sebagai tindakan terdesak Tun Mahathir untuk menjatuhkan Najib. Ada juga
yang menganggap bekas Perdana Menteri itu kini umpama "menyembah" Anwar
demi mencapai cita-cita politiknya.
Selebihnya,
komen-komen yang diberi lebih berbentuk cecehan yang menggambarkan
"jiwa kacau" dan "resah gelisah" yang semakin menggelodak dalam diri
mereka. Kesian....
Sementara
Anwar membuktikan dirinya seorang pemimpin berjiwa besar, tidak
berdendam dan pemaaf yang tiada duanya di antara kita, pertemuan itu
juga memperlihatkan Tun Mahathir seorang negarawan tulen yang sanggup
bekerjasama serta berurusan dengan sesiapa saja demi menyelamatkan
negara ini.
Jika
tidak kerana angkara dan kerosakan lebih besar kepada negara yang
diakibatkan oleh kepimpinan Najib, tiada sebab untuk kedua-dua mereka
saling tertaut hati untuk bertemu serta menjalin semula hubungan demi
kebaikan dan masa depan negara.
Pertemuan
ini adalah langkah pertama ke arah banyak langkah-langkah lain yang
akan digarap selepas ini. Ia juga mengingatkan kita bagaimana gandingan
Tun Mahathir - Anwar suatu waktu dahulu yang pernah menggemilangkan
negara dan menjadi kebanggaan kita, sedang menjelma menggamit semula
memori lama,
Secara
langsung juga, di pihak pembangkang sekarang sudah ada seorang bekas
Presiden dan dua bekas Timbalan Presiden UMNO yang sedang bekerjasama
erat untuk menyingkirkan Najib Razak.
Muhyiddin
Yassin yang sebelum ini diberi pesanan oleh Anwar agar lebih agresif
menggerakkan parti baru BERSATU, sudah pun mula turun padang menjelajah
ke seluruh negara berkaitan kepincangan 1MDB bersama Dr Wan Azizah,
Azmin Ali dan lain-lain pemimpin PKR.
Dalam
program turun padang pertama Muhyiddin bersama PKR di Sabak Bernam
baru-baru ini, beliau mendedahkan bagaimana berdasarkan kajiannya
terdapat 67 kerusi Parlimen BN, 45 daripadanya milik UMNO, sedang
terumbang-ambing berikutan pelbagai kemelut dalam negara yang
diakibatkan oleh Najib dan hanya memerlukan "swing" sebanyak 4 peratus
saja untuk mengalahkannya.
Berapa agaknya "swing" pengundi yang akan berlaku selepas bertautnya kembali hubungan Tun Mahathir dengan Anwar ini?
Dalam
keadaan ini, pemimpin-pemimpin UMNO boleh berkata apa saja atau terus
berazam melipatgandakan usaha untuk mempertahankan Najib dan kerajaan,
tetapi mereka juga tentunya sedar bahawa mereka kini mengharapkan lebih
keajaiban untuk menjadi memenangi pilihanraya akan datang.
Apa
yang berlaku ini hampir mengesahkan hukum Tuhan bahawa mana-mana
pemimpin yang terlibat dalam skandal kewangan atau pencurian wang
rakyat, lambat atau cepat, sejak dulu dan di mana-mana celah dunia
sekali pun, tidak pernah selamat akhirnya.
Dalam
buku-buku sejarah, di beberapa negara Timur Tengah, malah di Filipina,
Indonesia dan Thailand sebelum ini, itulah yang yang Tuhan telah berikan
peringatan kepada kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.