HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 September 2016

Penerangan RUU Hadi tugas semua muslim - PPMM

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic


SUBANG JAYA: Semua pihak yang beragama Islam wajar berganding bahu dalam usaha menerangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah yang dibawa PAS, terutamanya kepada orang bukan Islam.

Menurut Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, bukan PAS sahaja yang dipertanggungjawabkan untuk memberi penerangan undang-undang yang bakal memberi manfaat kepada umat Islam.

"Adalah tidak adil bagi kita meletakkan beban untuk menerangkan isu ini kepada PAS sahaja. Sebab undang-undang ini jika dipinda, ia akan memanfaatkan seluruh orang Islam.

"Sepatutnya bukan PAS yang memberi penerangan, pihak kerajaan, NGO-NGO Islam juga perlu memberi penerangan. Dari pihak PPMM, Persatuan Peguam Muslim Malaysia memang kami telah beri penerangan, berdialog dengan orang Islam dan bukan Islam," katanya dalam satu wawancara bersama Antarapos.

RUU Persendirian Mahkamah Syariah itu dibentang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mei lalu bertujuan memperkasakan mahkamah syariah. Namun perbahasannya ditunda ke sesi Parlimen pada Oktober depan.

Katanya, langkah itu bagi memberi ruang kepada ahli parlimen terutamanya bagi yang bukan Islam peluang memahami undang-undang itu secara matang dan menyeluruh.

Malah menurut Zainul lagi, seharusnya pihak yang beragama Islam mengenepikan soal berjaya atau tidak usul itu tetapi usaha yang dilakukan adakah mencukupi atau sebaliknya.

"Apa usaha kita untuk memartabatkan Mahkamah Syariah ini, berjaya atau tidak adalah soal kedua. Kita berharap usaha ini akan dipergiatkan lagi dan kita dapat meminda akta bidang kuasa jenayah mahkamah syariah (yang dipinda) 1984," ujarnya.

Pemerkasaan itu bagi membolehkan bidang kuasa Mahkamah Syariah ditambah khususnya dari segi skop menjatuhkan hukuman.

Mahkamah Syarah kini hanya boleh mengenakan hukum maksimum penjara tiga tahun, sebatan rotan tidak lebih enam kali dan denda maksimum RM5,000.


Tiada ulasan: