MALAYSIAKINI
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta pihak polis mengambil
tindakan sewajarnya kepada kumpulan Baju Merah yang melakukan kekerasan
fizikal kepada peserta BERSIH semalam.
Khairy turut meminta individu yang memimpin gerakan tersebut memberi
nasihat kepada anggotanya supaya tidak melakukan kekasaran dan
keganasan.
"Saya harap polis ambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat.
"Saya tidak boleh terima dan saya harap mereka yang ada di belakang
gerakan ini (Baju Merah dan BERSIH) dapat memberi nasihat kepada ahli
mereka supaya tidak lagi melakukan kekasaran dan keganasan," tegasnya
seperti dilapor Astro Awani.
Mengecam perbuatan itu, Khairy berkata amalan demokrasi di negara ini
tidak membenarkan keganasan serta kekerasan fizikal sebagai
penyelesaian dalam berhadapan pandangan berbeza.
"Saya melihat video semalam, tindakan sekumpulan Baju Merah itu yang
menyerang aktivis Bersih (dengan) menendang dan melakukan kekasaran
fizikal. Ini kita tidak boleh terima. Siapa sahaja yang terlibat,
tindakan ganas perlu kita kecam.
"Untuk menunjukkan pendirian masing-masing, kita perlu terima dalam
demokrasi. Namun, jangan sehingga mencetuskan tindakan ganas yang boleh
mencetuskan ancaman keselamatan terhadap individu-individu yang
terlibat," katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan Pertandingan
Akhir Kejohanan Badminton Asics 2016 di Subang hari ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan dua peserta BERSIH yang
menunggang motosikal dibaling telur ayam ketika melintasi jalan masuk ke
kawasan yang dipenuhi kumpulan Baju Merah di Sabak Bernam.
Seorang peserta Baju Merah kemudian menendang salah seorang daripada mereka sehingga menyebabkannya terbaring.
Penyokong BERSIH itu kemudian ditendang kali kedua oleh individu lain
dari belakang ketika pegawai polis meminta semua pihak bertenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.