Jaringan Melayu Malaysia (JMM) didakwa tidak sensitif terhadap perkembangan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila membuat laporan polis terhadap pemberi maklumat berkaitan skandal melibatkan wang negara.
Timbalan pengerusi Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (Kanun) Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, JJM seharusnya menyatakan pendirian terhadap dakwaan dan bukti penyelewengan wang rakyat terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis terhadap individu yang dikatakan mendedahkan rahsia kerajaan.
Sambil tidak menafikan bahawa semua orang berhak untuk membuat laporan polis atas pelbagai isu, beliau bagaimanapun berkata, JMM harus juga menggesa pihak polis menyiasat Malaysian Official One (MO1).
"Saya selar JMM kerana tidak sensitif dengan perkembangan-perkembangan yang melibatkan 1MDB termasuk laporan daripada The Sarawak Reports, tindakan yang diambil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dan juga negara-negara lain seperti di Singapura dan Switzerland dan juga titah Majlis Raja-Raja sebelum ini terhadap tragedi negara tersebut.
"Kalau betul JMM patriotik dan fikirkan masalah rakyat, JMM patut buat laporan polis dan desak PDRM untuk siasat dan dedahkan identiti MO1 dan juga Peguam Negara atau SPRM untuk dakwa MO1," katanya kepada Malaysia Dateline.
Jumaat lalu, JMM membuat laporan polis terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dakwaan mendedahkan rahsia kerajaan berkaitan 1MDB dan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Menurut Wan Anwar yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah, orang-orang seperti Muhyiddin dan juga Datuk Seri Husni Hanadzlah seharusnya dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low juga dilaporkan menyebut bahawa pemberi maklumat yang mendedahkan rasuah atau penipuan yang melibatkan Akta Rahsia Rasmi perlu diberikan perlindungan.
"Maka OSA sendiri seharusnya ada pengecualian terhadap mereka yang memberikan maklumat berkenaan rasuah dan salah guna walaupun yang berkaitan dengan maklumat dan dokumen yang telah diklasifikasikan," jelasnya.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini berkata, Muhyiddin dan Husni mungkin melanggar sumpah kerahsiaan ketika membahaskan Bajet 2017 di Parlimen.
Wan Anwar juga berkata, sudah sampai masanya satu akta yang menjamin hak rakyat terhadap maklumat digubal dan diwujudkan Akta Hak Terhadap Maklumat (RTI) 2005 seperti di India supaya rakyat diberikan lebih akses untuk mengetahui bagaimana kerajaan yang dipilih mengurus dan mentadbir urusan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan mengambil keterangan Muhyiddin, Husni dan Datuk Shafie Apdal.
Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.