Halaman

Ahad, 9 Oktober 2016

Pelik mengapa pihak berkuasa negeri tergesa-gesa mengaku tidak bersalah - Shafie

MALAYSIA GAZETTE


Shafie Apdal
Shafie Apdal


Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, beliau bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jika dipanggil bagi membantu kes penahanan dua pegawai kerajaan beserta rampasan RM112 juta wang tunai pada Rabu lalu.

“Sekiranya dipanggil untuk membantu siasatan, saya tidak akan teragak-agak memberikan kerjasama dan apa jua bantuan dengan apa cara sekalipun yang saya mampu,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.

Shafie yang dipecat dari jawatan Naib Presiden UMNO berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, bahawa dana projek persekutuan bernilai RM3.3 bilion yang diperuntukkan sejak 2010 adalah ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Projek itu tidak diurus oleh menteri,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai hal itu kerana yakin tidak patut campur tangan.

Katanya, beliau tidak wajar campur tangan dalam sesuatu yang masih dalam siasatan dengan memberikan kenyataan terbuka dan membuat apa-apa pengakuan supaya tidak mengganggu integriti siasatan SPRM.

Namun, ujar bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, kenyataan Joseph dianggap suatu yang pelik dan mengejutkan kerana pihak berkuasa negeri tergesa-gesa mengaku tidak bersalah di hadapan media dan menuding jari kepada kementerian itu, sedangkan siasatan masih dijalankan.

“Kenyataan terbuka beliau itu seolah-olah pihak berkuasa negeri tidak menghormati dan tidak yakin dengan proses siasatan SPRM,” katanya. -- MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.