SHAH ALAM: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan
pihak polis sedang menyiasat Majlis Peguam berhubung dana diterima
daripada Open Society Foundations (OSF), yang dikaitkan dengan jutawan
Amerika George Soros.
Beliau juga mengesahkan siasatan ke atas badan itu dibuat di bawah
Seksyen 124 C Kanun Keseksaan iaitu peruntukan berkaitan kesalahan
membabitkan aktiviti-aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi
berparlimen.
Khalid berkata, lima anggota pasukan khas Bukit Aman yang menyiasat
BERSIH dan Malaysiakini di bawah undang-undang yang sama juga telah
ditugaskan untuk menyiasat Majlis Peguam.
"Sebaik sahaja siasatan selesai, kami akan mengemukakan penemuan kami
kepada pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut," katanya.
Pada Khamis lalu, Majlis Peguam mengaku menerima RM53,757.13 (AS$
15,000) sebagai geran untuk kajian penyelidikan ke atas pekerja asing di
Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis
Peguam M Ramachelvam mendedahkan bahawa pemberian itu diterima pada 7
Januari 2015.
Beliau berkata jumlah itu digunakan untuk kajian penyelidikan dan bukan
untuk operasi atau perbelanjaan pentadbiran badan peguam.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran
juga mengaku menerima geran OSF, yang digunakan oleh KiniTV untuk
menghasilkan program berkaitan Sarawak.
"Pemberian geran berkenaan adalah untuk menyokong KiniTV menghasilkan
lebih banyak buletin dan berita di Sarawak, yang sukar dilakukan oleh
Malaysiakini, memandangkan kos yang tinggi dan kesukaran ke negeri itu,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan