KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa
menyiasat kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim berhubung isu pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air
Selangor (SPLASH).
Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata
siasatan itu perlu memandangkan kenyataan Khalid menyentuh soal tadbir
urus dan integriti kerajaan negeri.
"Ini merupakan isu integriti yang harus dilihat secara serius kerana ia
dikaitkan dengan penggunaan duit rakyat. Kenyataan Tan Sri Khalid
merupakan satu kenyataan yang mempunyai fakta yang perlu dijawab oleh
kepimpinan kerajaan negeri Selangor," katanya kepada pemberita di
Parlimen semalam.
Abdul Khalid sebelum ini menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan kerajaan Selangor ketika di
bawah pimpinannya menawarkan sebanyak RM2.975 bilion bagi
pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014.
Mohamed Azmin baru-baru ini dilaporkan mendakwa Abdul Khalid, sewaktu
memegang jawatan menteri besar tidak pernah memaklumkan kepada Dewan
Undangan Negeri berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada
Splash melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya pada 19 Julai
2009.
Sementara itu ketika ditanya jika Barisan Nasional Selangor akan
membuat laporan kepada SPRM berhubung kenyataan Abdul Khalid itu,
Irmohizam berkata mereka akan mendapatkan dahulu kenyataan balas
daripada kerajaan negeri Selangor.
Tambahnya kenyataan Abdul Khalid itu perlu dijawab kerana ia
menimbulkan spekulasi dalam kalangan rakyat mengenai tadbir urus air
yang dilihat semakin lemah dan menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan
kepada rakyat negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.