shahbudindotcom
Lim
Kit Siang menimbulkan persoalan apakah Pas sedang memberi kata dua
kepada Najib Razak berikutan sikap Hadi Awang yang tiba-tiba terbuka
untuk menjayakan pertandingan satu lawan satu dengan parti pembangkang
lain untuk menumbangkan UMNO dan BN.
Katanya,
beliau khuatir kenyataan Hadi itu hanya bertujuan mendesak Putrajaya
menyokong usul Akta 355 yang masih menunggu kebenaran kerajaan untuk
dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Parlimen.
Adakah
Hadi cuba memberitahu Najib bahawa ada akibatnya jika beliau tidak
mahu menyokong usul Akta 355 itu? tanya Kit Siang lagi.
Sehubungan
itu, kata Kit Siang, pihaknya perlu mengkaji terlebih dahulu dan
berharap tiada udang di sebalik batu daripada kenyataan Hadi itu.
Sebenarnya
persoalan yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang itu turut bermain di
pemikiran ramai orang dan pemerhati politik dalam negara. Ini kerana
sikap Hadi dan Hashim Jasin, Muryidul Am Pas dalam soal ini terlihat
agak mendadak perubahannya.
Sebelum
ini, mereka agak keras dalam soal bekerjasama dengan parti-parti lain
dan mahu terus kekal bertanding sendirian sebagai blok ketiga yang
dinamakan Gagasan Sejahtera, suatu langkah yang dilihat akan memberi
keuntungan kepada UMNO dan BN.
Bagaimanapun
langkah Pas yang tiba-tiba terbuka untuk menjayakan formula satu lawan
satu, meskipun menimbulkan persoalan, tetap disambut baik kerana
keinginan majoriti rakyat lebih mahu melihat UMNO dan BN dapat
ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang.
Blog
ini juga dalam artikelnya sebelum ini turut mengharapkan Pas akan kekal
istiqamah dan tidak lagi berubah-ubah dengan pendiriannya untuk
bersama-sama blok pembangkang bagi tujuan menumbangkan UMNO dan BN.
Memang
diakui langkah Najib memberi ruang kepada Hadi Awang membentangkan usul
persendirian meminda Akta 355 adalah bertujuan menarik Pas lebih dekat
kepada UMNO. Usul tersebut, walaupun hanya bertujuan memberi lebih kuasa
kepada Mahkamah Syariah, tetapi gambarannya seolah-olah sama seperti
hudud.
Apatah
lagi, parti-parti bukan Melayu, termasuk komponen BN, turut secara
terbuka menentangnya kerana menganggap ia sebagai laluan awal ke arah
hudud. Akibatnya, sementara Akta 355 itu terus merenggangkan hubungan
Pas dengan parti-parti pembangkang lain dan dalam masa yang sama
menjadikan mereka semakin dekat dengan UMNO, Najib juga berdepan dengan
tentangan daripada parti-parti komponen BN kerananya.
Lantaran
itu, tidak mustahil usul Akta 355 ini akan terus terpanggang di
kedudukan bacaan kali pertama saja dan tidak diberi laluan untuk
diteruskan. Meskipun Najib mengharapkan sokongan Pas, beliau juga
tentunya tidak sanggup kehilangan sokongan MCA, MIC, Gerakan dan
komponen di Sarawak.
Kenyataan
Azalina Othman Said, menteri yang bertanggungjawab kepada Parlimen
bahawa Dewan Rakyat sesi ini mungkin tidak cukup masa untuk usul Hadi
jelas merupakan petanda ia bakal tertangguh lagi. Pas tentu saja sedar
hakikat tersebut.
Maka, persoalan bahawa perubahan sikap Pas sebagai kata dua kepada Najib ada logiknya serta tidak boleh ditolak begitu saja.
Tambahan
lagi, Najib sekarang ini seperti tidak lagi memerlukan sokongan Pas
untuk masa depannya. Najib, melalui pemberian kontrak besar-besaran
kepada syarikat China sambil dengan berani memberi amaran kepada Barat
agar bersikap adil dan tidak saja pandai bersyarah tentang hak asasi
kepada negara-negara kecil, adalah isyarat paling jejas telah
meninggalkan Amerika yang telah memalukannya melalui tindakan Jabatan
Kehakiman AS menyita harta-harta berkaitan 1MDB.
Dengan
menjadikan China sebagai pergantungan barunya beserta kesanggupan kuasa
kedua ekonomi dunia itu melambakkan hutang berbilion dolar melalui
pelbagai projek infrastruktur negara, harapan Najib tentunya ialah agar
sokongan pengundi-pengundi Cina juga akan kembali kepada UMNO dan BN
bersama langkah itu.
Walaupun
berbelah bagi kerana sementara orang Cina memikirkan soal bisnes dan
sebahagian lagi melihat soal kekotoran skandal, tetapi sekiranya
perkiraan Najib bahawa pengundi Cina lebih ramai yang akan kembali
kepada UMNO dan BN menerusi perubahan dasar pandang ke China itu, maka
sudah tentu Pas dan Akta 355 itu tidak diperlukan lagi olehnya.
Soalnya,
apakah sokongan pengundi Cina yang diramalkan itu sudah memadai untuk
menjamin UMNO dan BN mencapai kemenangan dalam PRU 14 akan datang?
Bagaimana
jika sekiranya, lebih-lebih lagi dengan adanya PPBM dan penolakan
rakyat terhadap skandal yang melibatkan Najib, sokongan pengundi Cina
masih tidak mencukupi untuk memastikan kemenangan BN dan Najib tetap
memerlukan bantuan Pas bagi tujuan menjamin kemenangan yang lebih
selesa?
Apa akan jadi jika ketika itu Najib tiba-tiba memberi kebenaran kepada Hadi meneruskan pembentangan usul Akta 355 di Parlimen?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.