Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa berselindung di sebalik
nilai sebenar pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH),
demikian menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau mendedahkan mantan menteri besar itu sebenarnya menawarkan
jumlah RM2.975 bilion dalam usaha kerajaan negeri untuk mengambilalih
syarikat konsesi air berkenaan.
Bukan itu sahaja, Khalid, ketika menerajui negeri didakwa gagal
memaklumkan sebarang urusan rundingan berkenaan kepada Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri (MMKN).
“Saya ingin menegaskan di dalam dewan ini, Kerajaan Negeri tidak mahu mengulangi amalan lalu.
“Pentadbiran sebelum ini menyatakan nilai tawaran pengambilalihan ke
atas SPLASH adalah sebanyak RM250 juta dan inilah angka diuar-uarkan
seantero dunia.
"Namun orang sama tidak pernah memaklumkan kepada dewan ini berkenaan
tawaran RM2.975 bilion dibuat kepada SPLASH melalui surat bertarikh 25
Jun 2009 dan seterusnya 19 Julai 2009.
“Ia dengan pecahan seperti berikut iaitu nilai ikuiti sebanyak RM1.579
bilion dan nilai liabiliti sebanyak RM1.396 bilion,” kata Azmin.
Terdahulu dalam sesi penggulungan Bajet Selangor 2017 pagi tadi, ADUN
Permatang, Datuk Sulaiman Razak meminta Azmin menyatakan status terkini
pengambilalihan SPLASH dan kaedah yang digunakan untuk menentukan nilai
belian.
Azmin bagaimanapun meminta penerangan itu merujuk kepada jawapan balasnya petang semalam.
Isu pengambilalihan SPLASH sehingga kini belum diselesaikan meskipun tempoh tawaran sepatutnya berakhir pada Oktober lalu.
Sebelum ini semasa Khalid menjadi menteri besar, beliau berjaya
mengambil alih tiga syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Holding Berhad
(PNHB), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Konsortium ABBAS Sdn
Berhad (ABBAS).
Khalid memulakan usaha pengambilalihan itu bagi mewujudkan pengurusan
air secara holistik selain mengawal harga air agar tidak dijadikan
perniagaan yang hanya menguntungkan pihak tertentu.
Sebelum ini Khalid menawarkan nilai pengambilalihan SPLASH hanya
RM250.6 juta selepas mengambil kira liabiliti yang ditanggung syarikat
itu.
SPLASH menolak tawaran itu dan menegaskan nilai syarikatnya berjumlah
RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika dikira tempoh konsesi 16
tahun yang perlu dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.
Sebaik sahaja Azmin dilantik menggantikan Khalid, ADUN Bukit
Antarabangsa itu dikatakan hampir bersetuju untuk membayar jumlah
pampasan yang dituntut SPLASH iaitu RM2.7 bilion, peningkatan RM2.45
bilion daripada tawaran asal.
Khalid menyifatkan sebagai satu pembaziran wang rakyat jika kerajaan
negeri pimpinan Azmin akur dengan junlah yang dituntut SPLASH itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.