Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN]
"Kita mahu jadi pembangkang yang memberi nasihat; kita bersatu dalam
perkara yang sama dan tidak berpecah dalam perkara yang berbeza," kata
presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
“Sebab dulu kita tak buat atas dasar itu, jadilah apa berlaku sekarang
(bubar PR). Pengalaman memaksa kita meletakkan syarat dan ini mesti kita
lakukan. Kalau mereka setuju, DAP pun boleh bersama.
“Seeloknya satu lawan satu, tapi kalau dah tak boleh jadi satu lawan
satu, kita terpaksa empat lawan satu,” katanya di Jerai, Kedah minggu
lalu.
Beliau turut menyeru kepada parti-parti politik dan semua pemimpin dalam negara supaya jangan pinggirkan tuntutan al-Quran.
“PAS Islam, Umno Islam, PKR pun kebanyakan Islam dan DAP pun ada orang
Islam. Dalam erti kata lain kebanyakannya Islam. Sekarang al-Quran kata
berpegang teguh dengan agama Allah.
“Kalau nak bersatu memang bagi pihak Pas pintu sentiasa terbuka pagi
dan petang, tapi bersatu itu mestilah berdasarkan kepada agama Allah.
Tak usah cari yang lain sebab tak akan berjaya,” katanya.
Menurutnya, PAS ada banyak pengalaman sejak 65 tahun penubuhannya yang
meliputi ikhtiar menjalin kerjasama politik dengan BN dan PR.
“Antara syarat itu mereka tak boleh berperang dengan Nabi Muhammad selama 10 tahun.
“Ini perjanjiannya dan kalau ada antara mana-mana kabilah yang hendak
bersama berlindung di bawah Nabi Muhammad untuk kerajaan Islam pun
boleh. Kenapa kita nak tolak DAP?
“Mari, hukumnya boleh bertahaluf dengan syarat jangan ganggu al-Quran
itu. Kamu dengan agama kamu, aku tak ganggu dan jangan kamu mengganggu
agama kami,” katanya.
Bagaimanapun katanya, sekiranya ada campur tangan yang bersabit dengan
akidah oleh pihak luar, maka PAS tidak boleh menerimanya.
“Orang Islam wajib pegang kepada janji, kita tak boleh mungkir. Orang
lain juga boleh bersama Pas, Umno pun kita buka tapi dengan syarat Islam
mesti memimpin sebab kita dah bagi orang lain pimpin kita -- tak sampai
ke mana.
“Kita bersama dengan parti-parti dahulu, kita bertahaluf dan pernah
masuk BN. Kita dah duduk dalam PR, semua itu mereka di depan (dominan)
dan tak akan sampai kepada matlamat (Pas),” katanya.
Sejauh mana kesanggupan DAP?
Kali ini syarat tahaluf siyasi PAS dengan mana-mana parti adalah jelas –
ikut al Quran. Jika DAP yakin seperti beberapa pemimpin Peraknya
sanggup menukil ayat al Quran dalam ceramah mereka, PAS sanggup lupakan
perbezaan lama.
Ketika dalam Pakatan Rakyat sekalipun DAP beberapa kali mencabar dan
menggertak PAS supaya mengenepikan “angan-angan” melaksanakan hukum
Islam.
Ketika itu PAS masih berharap DAP faham pendirian Islamnya. Almarhum
Tok Guru Nik Aziz Nik Mat menziarahi mendiang Karpal Singh membawa kek
hari jadi untuk Karpal sebagai kias bahawa muslim boleh bekerjasama
dengan non-Islam.
Namun DAP enggan memahami pemikiran dan komitmen PAS pada ajaran Islam.
Akhirnya, DAP pula secara unilateral mengumumkan Pakatan Rakyat sudah
berkubur.
PKR terkedu. Tidak tahu siapa yang harus dipujuk -- DAP atau PAS.
Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali keberatan bermufarakah dengan
PAS. Namun ada kepimpinan PKR khuatir akan menyinggung DAP jika
bertahaluf dengan PAS.
Lantas lahirlah Pakatan Harapan atas inisiatif PKR. Bagaimanapun PAS
tidak menganggotai pakatan baru itu dan tempatnya secara rasmi diambil
alih Parti Amanah Rakyat (Amanah) yang ditimang-timang berdaya
menggantikan PAS.
Namun sudah lebih setahun Amanah wujud, ia tidak menggerhanakan PAS
yang bergerak sendirian. Amanah dilihat mempunyai ramai pemimpin
berkaliber tetapi mengadapi masalah kurang pengikut.
Ini menggusarkan pembangkang sehingga lahirlah Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) yang dilihat gesit dan mampu merobek kekuatan Umno.
Hakikat ini diakuri oleh bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim. 
Malangnya, kemunculan PPBM menjejaskan wibawa Amanah dan apabila
dihidupkan semula idea memingit PAS menyertai pelan kerjasama
pembangkang, Amanah dilihat terpaksa bersikap lunak terhadap PAS.
Bagaimanapun pendirian Hashim Jasin yang mahu perjuangan menentang
Umno-BN dilakukan mengikut strategi “satu lawan satu” dengan
mengguna-pakai syarat Islam mendasari pendekatan itu, membawa cabaran
baru.
Mahukah DAP mengendurkan fobianya terhadap Islam? Sehubungan itu,
bolehkah Amanah pula mengakui bahawa dalam soal penafsiran strategi
politik Islam, PAS lebih pakar?
Di samping itu adakah PKR dan PPBM berani menyahut cabaran PAS supaya
menjadikan al Quran dan As Sunnah sebagai pedoman perjuangan menundukkan
Umno-BN?
PAS semakin tegas bahawa kali ini yang dominan dalam perjuangan
pembangkang ialah Islam. Sudi atau beranikah pembangkang bersatu di atas
nama Islam?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan