Oleh Manzaidi Mohd Amin
Kementerian
Dalam Negeri (KDN) tidak pernah mengeluarkan lesen perjudian sama ada
kepada syarikat berkaitan judi mahupun orang perseorangan.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pihak yang
mengeluarkan lesen bagi semua bentuk perjudian adalah bawah bidang kuasa
Pihak Berkuasa Tempatan (PBTM) di negeri masing-masing.
"Jangan letakkan gambaran jika wujud kawasan perjudian di setiap
kawasan, itu kerana KDN yang keluarkan lesen. Tanggapan ini salah. Kita
tidak pernah bersengkokol dalam kes ini," katanya ketika menjawab soalan
di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, antara kawasan paling banyak pusat hiburan keluarga, siber kafe dan pusat judi ialah Puchong di Selangor.
"Banyaknya seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kerajaan
Selangor… tolong pantau. Tolong ingatkan PBT di negeri ini supaya
mengehadkan pengeluaran lesen kepada pusat-pusat ini," katanya sambil
mengeleng kepala.
Mengenai kewujudan pusat judi di depan sekolah, Ahmad Zahid
berkata, beliau menyedarinya kegiatan itu turut menjalankan aktiviti
tersebut di sebelah masjid, kuil, tokong, malah berhampiran balai polis.
Itu, katanya, tidak bermakna kegiatan yang berleluasa di sekolah
dan rumah ibadat berkenaan menggambarkan anggota polis tidak bertugas
atau tidak peka dengan aktiviti perjudian.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan Menteri
Besar dan Ketua Menteri agar mengeluarkan garis panduan kepada PBT
masing-masing agar tidak menyambung lesen syarikat judi yang sudah tamat
tempoh.
"Mana-mana pusat hiburan keluarga yang tamat tempoh, jangan sambung
lagi lesen mereka. Ini dapat membantu dan meringankan tugasan polis
serta agensi penguatkuasa lain dalam membanteras judi," katanya.
Menjawab pertanyaan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) yang
mendakwa mesin judi yang dirampas polis diberi semula kepada pusat
perjudian, beliau berkata, tidak adil membuat tuduhan sedemikian.
Katanya, di balai-balai polis di seluruh negeri sudah tidak ada
ruang lagi untuk menempatkan mesin judi yang dirampas dan ia menjadi
bahan bukti kes mahkamah.
"Tuduhan mengatakan polis menghantar semula mesin judi itu adalah
tidak benar dan jika mana-mana Ahli Parlimen mempunyai bukti, boleh
melaporkan terus kepada saya," ujar belilau.
Menjawab soalan dari Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Ahmad Zahid
berkata, usaha membanteras adalah tugasan bersama antara pihak berkuasa
dengan kerajaan negeri.
Beliau turut mempertimbangkan cadangan supaya melibatkan anggota
Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM)
bagi membantu polis dalam operasi membanteras perjudian.
"Kita akan pertimbangkan cadangan itu dan akan lihat dari aspek
perundangan sebab dari segi perundangan ia tidak mengizinkan RELA dan
APM terlibat," katanya. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.