Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Bolehkah Datuk Seri Azmin Ali menghela nafas lega apabila
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan tuduhan
bahawa salah laku seks serta wang berlaku dalam pentadbiran negeri
Selangor?
Bolehkah Menteri Besar Selangor itu yakin bahawa apa yang dilakukan
oleh Setiausaha Agung merangkap naib presiden partinya, Rafizi Ramli
membuat laporan berkenaan pada SPRM sebagai ikhtiar membantunya?
Kononnya, Rafizi mendapat restu pimpinan PKR membuat aduan itu kepada
SPRM semata-mata supaya SPRM mengaudit wibawa ketelusan dan ketulusan
pentadbiran Azmin di Selangor atas keyakinan ia adalah fitnah.
Khamis lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali
Ibrahim mengesahkan bahawa siasatan SPRM mendapati tiada bukti wujudnya
suguhan seks dalam urusan dengan kerajaan negeri Selangor.
"Ada pernah dakwaan dibuat, bukan oleh kerajaan, tapi dari pihak sana
(Rafizi Ramli), beritahu tentang perkhidmatan seks. Itu disiasat
"Bila disiasat, bukti (mengenainya) kita dapati tidak wujud," kata
Razali ketika menggulung perbahasan Bajet 2017 di Dewan Rakyat.
Ini merujuk aduan kepada SPRM oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli
mengenai dakwaan ada permintaan untuk wanita dan wang dari pihak-pihak
tertentu dalam urusan yang membabitkan kerajaan Selangor.
Sebagai satu usaha pencerahan bagi pihak partinya, PKR, Ahli Parlimen
Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tampil mengisytiharkan
bahawa tindakan Rafizi dalam kes itu berniat baik.
Beliau menegaskan bahawa tindakan Rafizi itu sebenarnya bukan bertujuan
memburukkan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Malah sebaliknya, kata beliau, apa yang dilakukan Rafizi itu adalah
usaha membersihkan tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan Pakatan
Harapan Selangor.
"Bukan (dakwaan) soal sahih tidak sahih, menjurus kepada maklumat yang
Rafizi terima, yang dihantar kepadanya jadi itu adalah maklumat yang
diberikan oleh orang pertama kepada dia, untuk bersihkan dakwaan yang
dibuat.
"Tidak (memburukkan Azmin). Kita kena faham maklumat yang kita terima
itu kita kena maklumkan dan kita kena buat siasatan kerana dakwaan ini
datang dari orang yang pertama, kita adalah orang ketiga.
"Jadi kita menganggap setiap apa juga siasatan itu memerlukan
keterbukaan bila siasatan dibuat maka dakwaan yang diberikan itu adalah
bersifat tidak betul.
"Kira sudah selesailah siasatan itu. Cuma kita raikan ialah siasatan
itu bersifat keterbukaan tidak ada niat jahat. Kita mahu bersihkan dan
mahu pastikan kepimpinan itu bersih daripada segala gejala," ujarnya
lagi.
Sebelum dan selepas Rafizi membuat laporan itu, Azmin menepis dakwaan
berkenaan dan menyifatkannya sebagai sebahagian kempen untuk
memburuk-burukkan pentadbiran kerajaannya.
Namun bagi pihak yang rapat dengan PKR adalah sukar menerima ia adalah
contoh kerjasama kedua-dua pihak memelihara nama baik parti. Malah isu
itu dianggap sebagai sebahagian strategi pihak dalam parti memburukkan
Azmin.
Banyak pihak melihatisu berkenaan adalah cetusan perbalahan di antara
Azmin sebagai Timbalan Presiden dan penyokong presiden, Datuk Seri Wan
Azizah Wan Ismail yang memuncak ketika laporan dibuat Mei lalu.
Malah bagi bagi pengamat politik PKR, ia adalah cerminan cara dan
pendekatan PKR “menyelesaikan” masalah politik dalaman parti seperti
pernah berlaku pada mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim dua tahun lalu.
Dalam kes itu, apabila pimpinan PKR yakin Khalid enggan melepaskan
jawatan menteri besar, Setiausaha Agung ketika itu, Datuk Saifuddin
Nasution Ismail, mengedarkan pada media kenyataan beberapa salah laku
Khalid dalam mengurus Selangor.
Khalid menganggap dakwaan berkenaan sebagai fitnah dan bertindak
menyaman Saifuddin dan parti. Kes itu kemudian diselesaikan di luar
mahkamah setelah Khalid meletak jawatan.
Namun dalam kes Azmin “serangan” yang dilakukan oleh Rafizi mempamerkan
ciri khas Rafizi dalam “mendedahkan kelemahan pihak individu dan badan
korporat”
Lazimnya, matlamat Rafizi ialah melekatkan imej dan persepsi buruk
terhadap pihak yang menjadi sasarannya. Ini pernah berlaku ada National
Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk
Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.
Bagaimanapun setelah dibicarakan, Mahkamah Tinggi memerintahkan Naib
Presiden PKR itu membayar ganti rugi RM200,000 kepada perbadanan
berkenaan dan Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, kerana memfitnah.
Ia adalah berhubung kenyataan Mohd Rafizi berkaitan pinjaman pembelian hartanah KL Eco City, Bangsar.
Terbaharu, Rafizi membuat dakwaan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) tidak
berupaya membayar semula pendeposit jika mereka mengeluarkan
keseluruhan simpanan pada 31 Disember tahun lalu.
Rafizi mendakwa dana TH akan mengalami defisit RM3.09 bilion ekoran kerugian yang ditanggung daripada aktiviti pelaburan.
Katanya, kerugian pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 itu
menyebabkan dana terkumpul semasa ialah RM56.24 bilion berbanding jumlah
deposit terkumpul sebanyak RM59.33 bilion.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Johan
Abdullah bingkas menyatakan TH mempunyai nilai aset boleh
direalisasikan RM64.74 bilion berbanding liabiliti kepada pendeposit
sebanyak RM59.33 bilion.
Ini bermakna TH mampu mengembalikan ke semua deposit oleh pencarum jika wujud keperluan untuk berbuat demikian.
"TH masih mempunyai lebihan sebanyak RM1.44 bilion jikalau kami mengembalikan semua dana pendeposit.
"Ini (analisis) tidak betul, jangan politikkan Tabung Haji," katanya pada taklimat media mengenai kedudukan kewangan TH.
Itu memang cara Rafizi yang nampaknya direstui oleh PKR iaitu “serang
dan cemar nama baik pihak saingan” tidak kira kawan atau lawan. Mungkin
bagi PKR dalam politik membina persepsi buruk khalayak terhadap pesaing
adalah jalan pintas kemenangan.
Dalam kes Azmin, agak kurang bijaksana jika beliau tidak lebih
berhati-hati dalam urusannya dengan beberapa pihak tertentu dalam
partinya sendiri.
Azmin tentu tentu maklum, apa jua niat laporan itu dibuat pada SPRM, wibawanya sedikit sebanyak sudahpun tercemar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan