KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
menitahkan kerajaan negeri supaya memberi perhatian serius dan segera
mengatasi masalah bekalan air yang berlaku di beberapa buah daerah di
negeri itu.
Tengku Abdullah juga mahukan pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah itu.
"Pahang mempunyai kawasan tadahan air yang banyak dan apabila masalah
ini berlaku ia tidak boleh diterima kerana kita juga mengeksport air ke
negeri lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
"Duduk diam tanpa menyelesaikan isu ini tidak boleh diterima oleh
rakyat dan saya akan panggil jabatan berkenaan untuk tinjau tentang
masalah itu.
"Bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, namun semua agensi
perlu main peranan untuk atasinya," titah baginda semasa merasmikan
majlis pecah tanah projek pembinaan jambatan baru merentasi Sungai
Kuantan-Tanjung Lumpur, di Kuantan semalam.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kerja Raya
DatukSeri Fadillah Yusof dan Pengerusi Ahmad Zaki Resources Berhad
(AZRB) Raja Tan Sri Aman Raja Ahmad dan Naib Pengerusinya, Datuk Seri
Wan Zaki Wan Muda.
Dalam masa yang sama, baginda turut merakamkan penghargaan kepada
kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak yang banyak memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur di
negeri ini termasuk dengan membina jambatan baru itu.
"Tahun 1960-an dahulu, rakyat Pekan terpaksa menaiki dua buah feri
untuk ke bandar Pekan dan saya sendiri pernah merasai pengalaman
tersebut semasa mengikuti ayahanda Sultan Ahmad Shah sebelum berpindah
ke Kuantan.
"Kini banyak nikmat pembangunan telah dirasai oleh rakyat dan dengan
pembinaan jambatan baru ini, saya yakin limpahan ekonomi akan dapat
dirasai oleh penduduk," tegas baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.