Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada
konvensyen DAP semalam adalah demi menyelamatkan parti itu selepas ia
dikritik hebat ketika Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan,
'serangan' Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak ternyata membuatkan DAP
tersentak sehingga terpaksa meminta bantuan daripada Mahathir.
"Mengheret Mahathir ke Persidangan Tahunan DAP dan memintanya berucap
membela DAP merupakan kejayaan halus DAP memperkudakan bekas perdana
menteri itu.
"Ternyata pendedahan Najib sewaktu ucapan penggulungan menjadikan DAP
seperti cacing kepanasan dan defensif. Mereka tidak menjangka Najib akan
berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Najib pada Khamis lalu, memberi amaran kepada kaum Melayu bahawa hak
dan keistimewaan mereka bakal terhapus jika memilih PH pimpinan DAP pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ujar Najib yang merupakan Perdana Menteri, Melayu diberi pilihan sama
ada mengekalkan keindukan kerajaan pimpinan Umno atau keindukan kerajaan
pimpinan DAP yang mempunyai perjuangan sempit dan mengancam survival
Bumiputera.
Tambah Puad lagi, bukan saja DAP mempergunakan Mahathir, sebaliknya
kedua-dua mereka mempunyai kepentingan masing-masing dalam menjatuhkan
Najib dan Umno.
"Mahathir sanggup diperkudakan oleh DAP untuk menjawab serangan Datuk
Seri Najib Razak dalam ucapan penggulungannya bahawa Umno sekarang ini
berlawan dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP bukannya
Mahathir.
"Macam-macam alasan Mahathir untuk memuji DAP seperti pengunaan bahasa
kebangsaan dalam lagu DAP termasuk ucapan yang disampaikan dalam bahasa
kebangsaan.
"Tidak sukar untuk memahami kenapa Mahathir berkata sedemikian. Bukan
kerana beliau mudah lupa tetapi Mahathir terpaksa buat buat lupa untuk
menghalalkan strateginya untuk menjahanamkan Umno," katanya lagi.
Malah beliau turut melihat bahawa DAP dan Lim Kit Siang adalah merupakan De Facto Opposition Leader dan bukannya Mahathir.
Sikap dominan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) dapat dilihat sewaktu
Penasihatnya Lim Kit Siang menggesa Selangor mengadakan pilihan raya
mengejut ekoran persempadanan semula kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan