Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini
menuntut campurtangan antarabangsa terhadap apa yang berlaku ke atas
warga Rohingya di Myanmar.
Bercakap di hadapan lebih 10,000 peserta Himpunan Solidariti Ummah
untuk Rohingya, Hadi menempelak tindakan bisu daripada beberapa pihak
antaranya Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu itu.
"Krisis (Rohingya) bukan sahaja wajibkan campur tangan Malaysia tapi
piagam PBB dan Geneva. Negara ASEAN dan semua negara anggota OIC dan
pejuang hak asasi Malaysia kerana tlaah lakukan cabul hak asasi.
"Apa yang berlaku terhadap bangsa Muslim Rohingya bukan sahaja menuntut
campur tangan Malaysia sebaliknya pihak antarabangsa," katanya semasa
berucap dalam himpunan berkenaan.
Himpunan Solidariti Ummah anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam
ini menyaksikan Hadi berkongsi pentas dengan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketiga-tiga mereka bertegas membantah kekejaman kerajaan Myanmar yang
tanpa berperikemanusiaan melakukan penghapusan etnik ke atas Rohingya.
Hadi dalam pada itu berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar
sangat tidak bertamadun dan melampaui batas kemanusiaan, justeru
kerajaan Malaysia terpaksa tampil menyatakan bantahan.
"Urusan di Myanmar bukan sahaja diwajibkan campur tangan Malaysia dan
seluruh dunia yang tandatangani Piagam Geneva dan semua negara Islam
OIC,kerana kerajaan Myanmar telah lakukan pencabulan hak asasi manusia,"
katanya.
Jelasnya lagi, Islam menganjurkan supaya umatnya menghormati hak-hak
bukan Islam tetapi apabila hak dan kebebasan umat Islam dicabuli, maka
semua umat Islam di dunia ini tidak seharusnya berdiam diri.
Kekejaman kerajaan Myanmar ke atas Rohingya bukan perkara baru, malah ia sudah berlarutan sejak tahun 30-an.
Myanmar sebelum ini meluluskan Burma Citizenship Law of 1982, yang
membolehkan negara itu melaksanakan segala bentuk kekejaman ke atas
Rohingya.
Rohingya adalah warganegara Myanmar, namun negara itu pada 1982
mengisytiharkan etnik itu sebagai pendatang di tanah air sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan