Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Kehadiran Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah ke
Konvensyen DAP semalam menyerlahkan lagi sokongan badan bebas tersebut
kepada perjuangan parti politik parti pimpinan Lim Kit Siang dan Lim
Guan Eng.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
berpendapat 'tiada yang menghairankan' disebalik kehadiran Maria itu.
"Tidak hairan, walaupun pada BERSIH 5 juga dihadiri oleh penyokong
pembangkang. Jika Maria Chin hadir ke Konvensyen DAP sebagai mendokong
perjuangan parti dan pembangkang.
"Sebab kita tahu DAP menyokong kuat agenda BERSIH. Maka kita tahu Maria
Chin menyokong perjuangan parti pembangkang," katanya kepada Antarapos,
hari ini.
Kehadiran Maria yang mengetuai BERSIH itu ternyata mengundang persoalan
ekoran sebelum ini badan bukan kerajaan (NGO) itu seringkali menafikan
bahawa mereka terlibat dalam agenda politik pembangkang.
Agenda BERSIH juga dilihat tersasar daripada landasan asal apabila
baru-baru ini mereka menganjurkan himpunan BERSIH 5 bagi menuntut
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Sebelum ini NGO itu kerap menuntut reformasi sistem pilihan raya bersih dan adil sebagai agenda utama.
Selain Maria, turut hadir ke konvensyen itu adalah Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu tidak dijemput ke konvensyen DAP memandangkan
partinya bukan sebahagian komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
Namun, dikatakan Mahathir mendapat 'jemputan khas' disaat-saat akhir.
Azizuddin, ketika mengulas lanjut kehadiran Maria juga berkata,
tindakan itu boleh merujuk kepada sokongan pemimpin NGO itu terhadap
parti-parti pembangkang yang lain.
"BERSIH tidak mendapat sokongan yang banyak dari akar umbi. Cuma
pendokong kepada agenda BERSIH terdiri daripada parti-parti politik
pembangkang, sepertimana kita lihat dalam himpunannya dari satu hingga
lima," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan