Presiden
Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat
Sabu mengakui parti itu boleh menang besar di Kelantan dan Terengganu
melawan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan majoriti kawasan yang
dimenangi Pas di dua negeri berkenaan kini boleh berubah bila-bila masa
kepada PAN atau rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH).
Katanya, jika PAN tidak meletakkan calon bertanding, sudah tentu
UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memenangi kerusi berkenaan, sekali
gus mengambil alih semula pemerintahan Kelantan dan mengekalkan
pentadbiran di Terengganu dengan kelebihan kerusi yang banyak.
“Jadi, kita akan letak calon di Kelantan dan Terengganu. Soal satu,
dua atau tiga penjuru tidak penting lagi kerana PAN gagal mendapat
persetujuan daripada parti lama (Pas) untuk bekerjasama melawan BN.
“Minda rakyat Kelantan agak unik. Semua pihak termasuk
penganalisis, pemerhati politik, malah pemimpin UMNO sendiri mengakui
orang Kelantan unik.
“Bila mereka kata nak ubah, mereka ubah semuanya sekali sebagaimana
berlaku pada PRU 1995, saya dipilih sebagai calon oleh parti lama, ada
ahli jawatakuasa datang beritahu saya tak perlu turun kempen kerana dah
sah menang,” katanya yang terkejut diumumkan menang dengan majoriti
besar pada malam mengundi.
Beliau berkata demikian di hadapan lebih 1,000 perwakilan dalam
ucapan penangguhannya pada Konvensyen Nasional PAN di Dewan Shah Alam
Convention Centre (SACC) di sini, petang ini.
Mat Sabu berkata, berdasarkan pengamatannya termasuk maklumat yang
dikumpul, PAN boleh menggantikan Pas di Kelantan walaupun berlaku
pertandingan tiga penjuru sekali pun.
Sementara itu, beliau mengingatkan para perwakilan dan juga jentera
PAN agar berhati-hati dengan strategi UMNO/BN yang akan menggunakan isu
perkauman untuk kekal berkuasa.
“UMNO dan BN akan menjadikan DAP sebagai isu utama mereka untuk
menimbulkan kebencian rakyat. Cara ini memungkinkan mereka terus kekal
memerintah pada PRU akan datang.
“PAN bersama PH satu-satu pembangkang yang boleh menyekat kemaraan
UMNO dan BN. Kita tak boleh harapkan parti lama lagi untuk bersama kita.
Mereka (Pas) sudah jatuh cinta dengan UMNO dan tidak mustahil memberi
bantuan untuk kemenangan BN.
“Kita akan lawan habis-habisan. Kita main isu rasuah dan banyak lagi yang akan kita susun nanti,” ujar beliau.
Mat Sabu turut yakin PH akan bertambah kuat dengan penyertaan rakan
baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bakal
dimeteraikan Selasa ini.
Beliau mengakui, parti pembangkang, kecuali Pas tidak boleh berdiri di kaki sendiri untuk melawan UMNO dan BN, melainkan melalui gabungan. -
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan