shahbudindotcom
Satu-satunya
perkara yang paling mudah difahami daripada ucapan penggulungan Najib
Razak semalam ialah PRU 14 bakal diadakan dalam tempoh beberapa bulan
akan datang.
PAU2016 kemungkinan merupakan perhimpunan UMNO yang terakhir sebelum PRU 14 diadakan.
Dalam
ucapan penutup Perhimpunan UMNO itu, Najib dilihat banyak memuntahkan
peluru yang dirasakan akan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN untuk
memenangi pilihanraya.
Subsidi
RM20 ribu untuk rumah, pemberian BR1M melalui Ketua-Ketua UMNO
Bahagian, bantuan RM300 ribu untuk penubuhan koperasi bagi aktiviti
peruncitan dan janji penyelesaian beberapa masalah berkaitan Felda yang
akan diumumkan dalam waktu terdekat adalah antara petanda pilihanraya
bakal semakin dekat waktunya.
Selain
itu, Najib turut mendapat ikrar daripada daripada Zahid Hamidi,
Hishammuddin dan pemimpin sayap-sayap untuk memberikan yang terbaik bagi
kemenangan UMNO dan BN kali ini.
Najib
juga turut melontarkan serangan kepada DAP dan memberi bayangan mahu
dibawa oleh semua peringkat sebagai bahan kempen yang utama. Ia tentu
saja akan diperkukuhkan lagi melalui dakapan erat kepada Pas melalui
perhimpunan Rohingya pagi ini dan selepas itu, media-media utama serta
televiseyen, meskipun makin menurun edarannya dan tidak lagi ditonton
ramai, akan memperbesar-besarkannya lagi beritanya untuk memberi imej
lebih Islamik kepada Najib.
Dalam
masa yang sama, Najib telah mempamerkan perseteruannya yang tiada
bandingannya terhadap Tun Mahathir di mana beliau hanya memanggil bekas
Perdana Menteri sebagai "kamu, kamu, kamu" saja.
Najib
jelas tidak lagi menunjukkan rasa hormatnya kepada Tun Mahathir.
Berbeza dengan Tun Mahathir yang turut diserang dan dimusuhi oleh Tuanku
Abdul Rahman Putra Alhaj suatu ketika itu dahulu, tetapi beliau tetap
menghormati Bapa Kemerdekaan itu, jauh sekali pernah memanggilnya dengan
panggilan "kamu, kamu, kamu."
Ia
dengan sendirinya memberi maksud bahawa Najib mahukan seluruh pimpinan
UMNO turut sama membuang rasa hormat dan menyerang habis-habisan Tun
Mahathir yang kini merupakan Pengerusi PPBM.
Dalam
konteks UMNO, tidak dinafikan bahawa Najib tidak lagi berdepan masalah
dan gangguan secara dalaman. Semua musuh-musuhnya sudah dapat
disingkirkannya dan ia paling sesuai untuk mengadakan pilihanraya.
Sementara sokongan tidak goyah, hakikatnya masih ramai rakyat yang tertanya-tanya, apa jadi selepas pilihanraya nanti?
Apakah
dengan subsidi rumah RM20 ribu, bantuan RM300 ribu untuk koperasi, BR1M
disampaikan oleh pimpinan UMNO bahagian dan perlaksanaan projek-projek
besar dengan kerjasama negara China itu bakal memberi keselesaan atau
menghimpit lagi kehidupan mereka melalui kemungkinan cukai GST dinaikkan
dan semakin banyak subsidi dihapuskan?
Jika
GST tidak dinaikkan dan subsidi tidak dihapuskan lagi, di mana kerajaan
mahu memperolehi wang bagi mengurus kerajaan selepas itu?
Yang
lebih menakutkan ialah bagaimana pula gaya kepimpinan Najib dan tingkah
laku Rosmah selepas menang nanti, adakah makin mewah dan boros atau
tidak?
Siapa
pula yang bakal menjadi menteri dan anggota kabinet nanti? Apakah
menteri-menteri yang dianggap "bodoh" dan hanya tahu mengampu, membodek
dan selalu menyakitkan hati rakyat dengan kenyataan-kenyataan pra-matang
masih kekal atau digugurkan?
Semua
ini antara yang menjadi perkiraan bagi rakyat. Tindakan Najib tidak
lagi menghormati Tun Mahathir sehingga memanggilnya dengan panggilan
"kamu" mungkin boleh dianggapnya sebagai haknya, tetapi jangan lupa,
masih rakyat yang menyanjung tinggi bekas Perdana Menteri itu.
Antara
kejayaan dan sumbangan terbesar Tun Mahathir ialah kejayaannya
mengeluarkan negara daripada krisis ekonomi melalui tindakan luar jangka
dan tidak popular yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Sehubungan
itu, masih ramai yang merasakan Tun Mahathir masih mampu memberi
sumbangan idea dan buah fikiran untuk kebaikan negara jika kerajaan baru
mengambil alih nanti.
Bersama
PAU2016 mungkin yang terakhir sebelum PRU 14 diadakan, dorongan untuk
menjadikan piliharaya akan datang sebagai detik penamat berakhirnya
kuasa UMNO dalam negara ini tetap juga membuak-buak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.