Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
PETALING JAYA: 'Tepat pada masanya', demikian pandangan bekas Naib
Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim apabila mengulas peringatan
Datuk Seri Najib Razak kepada kaum Melayu dan Islam berhubung implikasi
yang bakal diterima jika DAP berkuasa di negara ini.
"Peringatan oleh PM itu tepat pada masanya. Orang Melayu leka,
sedangkan mereka perlu sedar apa yang sedang berlaku di sekeliling
mereka.
"Doktrin politik DAP adalah dengan cara 'menggunakan' beberapa saluran
seperti SUARAM dan BERSIH, yang mana bertentangan dan berbeza dengan
kuasa dan hak orang Melayu dan Islam.
"Malah lebih dari itu, mereka (DAP) berjaya kerana orang Melayu yang
'membenarkan' hal ini terjadi," katanya ketika ditemui Antarapos,
baru-baru ini.
Tunku Aziz juga berkata, peringatan Najib ketika berucap di Perhimpunan
Agung Umno 2016 (PAU2016) baru-baru ini juga bagi memberi kesedaran
siapakah musuh sebenar bagi kaum Melayu, meskipun DAP yang dipimpin Lim
Kit Siang dan Lim Guan Eng itu melaungkan partinya sebagai parti yang
berbilang kaum.
Sebaliknya kata beliau, DAP secara jelas dan nyata membawa perjuangan
Cina Chauvanis yang berbahaya terhadap kepentingan dan hak kaum Melayu
dan Islam di negara ini.
"DAP dan orang Cina mendakwa Umno tidak melakukan banyak kebaikan
kepada orang Melayu, malah mempersoalkan apakah yang telah dilakukan
sejak Umno memerintah lebih 60 tahun dahulu.
"Saya melihat pembangunan negara ini, politik dan ekonominya, dari
tiada apa sehingga apa yang ada pada hari ini. Ia bukan mudah seperti
semuanya jatuh dari langit. Orang-orang kita bekerja keras untuk
memajukan negara ini, bukan sahaja dari kaum Melayu, termasuk kaum lain
juga.
"Tidak ada mana-mana negara di dunia, yang luar daripada China,
mempunyai kependudukan masyarakat Cina yang besar. Jika kita ini
berfikiran terbuka dan adil, kita boleh nampak bahawa kepentingan kaum
ini amat terjaga di Malaysia, meskipun mereka sering kata diabaikan,"
ujarnya lanjut.
Najib ketika berucap pada PAU2016 berkata, hak dan keistimewaan orang
Melayu serta peningkatan syiar Islam yang dipupuk dan dipertahankan Umno
selama ini akan terhakis, malah 'pupus' sekiranya pengundi memilih
Pakatan Harapan pimpinan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
Pilihan raya tersebut, kata Najib, memberi pilihan kepada rakyat sama
ada mengekalkan keindukan kerajaan pimpinan Umno atau keindukan kerajaan
pimpinan DAP yang mempunyai perjuangan sempit dan mengancam survival
Bumiputera.
Presiden Umno itu berkata perlembagaan DAP tidak langsung mengiktiraf
Islam sebagai agama Persekutuan atau menjunjung institusi Raja-raja
Melayu.
Begitu juga perlembagaan DAP 'senyap' mengenai usaha untuk melindungi hak dan keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera.
Beliau menegaskan perlunya kaum Melayu dan Bumiputera berpaut
seteguh-teguhnya kepada Umno sebagai satu-satunya parti yang mampu
membela nasib anak cucu keturunan dan memperjuangkan masa depan mereka.
"Jangan leka, itu yang disampaikan oleh PM. Najib, sebagai pemimpin
sebuah parti Melayu terbesar bertanggungjawab untuk mengingatkan kita.
Melihat kepada apa yang dilalui Umno yang telah memimpin negara ini
lebih dari 60 tahun.
"Jika kita mahu menjadi adil, kita perlu beri kredit kepada Umno.
Mereka sudah lakukan yang terbauk dalam mentadbir negara yang kompleks
dari segi agama, bangsa dan kaumnya," ulas Tunku Aziz lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan