shahbudindotcom
PRU
14 adalah peluang untuk orang-orang Melayu menjadi cerdik dan
membuktikan mereka tidak bodoh. Caranya ialah dengan menolak UMNO dan BN
serta memastikan parti itu tidak lagi berkuasa di negara ini.
Selagi
UMNO dan BN berkuasa, khususnya selagi Najib Razak yang sudah dikenali
dunia sebagai pemimpin kleptokrat menjadi Perdana Menteri buat negara
ini, maka selagi itulah orang-orang Melayu terus diperbodohkan atau cuba
dibodoh-bodohkan.
Seperti
pengundi bukan Melayu dan mereka di bandar yang sudah menunjukkan
perubahan, pengundi Melayu juga harus bergerak ke arah yang sama. Jika
tidak, acara dan pesta membodoh-bodohkan Melayu itu akan berterusan dan
diulang berkali-kali untuk menutup kelemahan dan rompakan terhadap
khazanah Melayu itu sendiri.
Ucapan
perasmian Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO semalam yang mengatakan
PRU 14 akan datang adalah pilihan antara kerajaan yang ditunjangi oleh
UMNO dan Melayu dengan Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP, adalah
jelas suatu tindakan cuba membodoh-bodohkan orang Melayu.
Lebih
dahsyat lagi apabila Najib turut menakut-nakutkan orang Melayu bahawa
sekiranya UMNO kalah dan hilang kuasa, semua institusi kerajaan seperti
MARA, Felda, Felcra, Teraju dan lain-lainnya akan lenyap serta pupus,
seterusnya menjadikan masa depan mereka tiada lagi pembelaan.
Bagi
mereka yang waras, boleh berfikir dengan baik atau tidak mengalami
strok otak, tentu saja dengan mudah tidak percaya menolak kata-kata
Najib itu. Ini kerana mana mungkin DAP yang hanya bertanding 54 kerusi,
mampu menjadi begitu berkuasa dalam negara ini, waima sekiranya mereka
menang semua kerusi yang ditandingi sekali pun.
Dengan
Pakatan Harapan yang di dalamnya turut ada PKR, Amanah dan tidak lama
lagi, PPBM juga akan turut serta, di mana logiknya kata-kata Najib
bahawa DAP akan menerajui gabungan itu?
Lagi
pula, tidak seperti BN yang hanya UMNO dianggotai oleh Melayu,
sebaliknya PKR, DAP, Amanah dan PPBM, semuanya ada Melayu di dalamnya?
Tidakkah ia dengan sendirinya menjadikan kedudukan Melayu dalam Pakatan Harapan lebih meluas dan merata?
Lihat saja di Selangor, apakah DAP yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri itu?
Juga
tidak masuk akal dan jelas mahu membodoh-bodohkan Melayu apabila Najib
mengatakan MARA, Felda, Felcra, Teraju dan lain-lain institusi akan
turut lenyap serta pupus jika UMNO hilang kuasanya.
Di
Selangor dan Pulau Pinang, sudah berapa banyak pejabat agensi kerajaan
yang berkaitan Melayu dan Islam telah ditutup atau diarahkan berpindah
ke negeri lain?
Selama
ini, siapa yang menjahanamkan MARA, Felda dan Felcra dengan pelbagai
ciri-ciri rompakan dan amalan rasuah sehingga agensi-agensi itu lebih
merupakan tempat pemimpin Melayu memperkayakan diri sendiri berbanding
membantu rakyat yang dalam kesempitan?
Adakah
MARA, Felda dan Felda benar-benar menjadikan Melayu kaya dan berharta
atau hanya isteri, isteri muda dan anak-anak pemimpin Melayu yang
bermaharalela menjadikan agensi-agensi itu sebagai lubuk mengaut
kekayaan mereka?
Menjelang
PRU 14 akan datang, orang-orang Melayu mesti fokus kepada isu yang
sedang berlaku dalam negara dan jangan biarkan mereka terus
diperbodohkan lagi oleh pemimpin sendiri. Isu di depan mata kita ialah
rasuah yang berleluasa dan penyonglapan wang negara yang berlaku tanpa
hadnya.
Menakut-nakutkan
kononnya Melayu terancam dan DAP menguasai kerajaan hanyalah pelindung
untuk menutup kedurjanaan dan bagi mengelakkan kesalahan mereka diadili
oleh kerajaan yang baru nanti.
Bukan
DAP atau bimbangnya institusi Melayu dan Islam yang menjadi ketakutan
mereka. Mereka hanya ingin berkuasa dan terus merompak lagi, sambil
mengharapkan kesalahan mereka tidak akan diadili sampai bila-bila.
Jika
pemimpin yang sama terus berkuasa, mereka pasti akan merompak dan
menyamun lagi. Menolong dan membantu rakyat hanyalah merupakan agenda
yang ke 69 dalam hati dan perjuangan mereka.
Lima
tahun lagi apabila tiba hampir pilihanraya dan kegiatan penyonglapan
mereka diperkatakan di merata-rata, mereka akan kembali menakut-nakutkan
lagi dengan perkara yang sama - Melayu terancam dan DAP akan menguasai
negara ini sambil sudah mula pandai berdoa dan berjubah kononnya agar
Tuhan menyelamatkan negara ini.
Akhirnya
Melayu terus mundur dan ketinggalan dan hanya kelompok pemimpin yang
kaya raya mengaut segala milik negara. Tiada apa-apa perubahan dan
kemajuan untuk rakyat, malah di sebalik negara kita merupakan pengeluar
utama kelapa sawit dunia, pemimpin yang ada hanya menutup mata daripada
memastikan minyak masak pada kadar yang munasabah harganya.
Sebab
itu, PRU 14 adalah peluang untuk Melayu menjadi cerdik dan tidak lagi
membiarkan mereka terus diperbodoh-bodohkan. Sekarang adalah peluang
terbaik untuk melakukan perubahan dan membodohkan pula pemimpin durjana
yang membawa kerosakan kepada negara.
Jika
orang Melayu mula menjadi cerdik dengan tidak takut mengalahkan UMNO
dan BN, pemimpin seterusnya tidak mungkin berani lagi membawa
retorik-retorik bodoh untuk mendapatkan undi. Kita harus mulakannya
dengan menunjukkan kecerdikan itu tanpa ragu-ragu lagi.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.