JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyokong penuh keputusan kerajaan
mengemukakan permohonan semakan semula terhadap penghakiman Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ), berhubung status Batu Puteh, Batuan Tengah
dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, Batu Puteh adalah perkara penting dan sensitif khususnya bagi Johor.
"Kerajaan negeri mengalu-alukan perkembangan terkini ini khususnya
berhubung usaha Malaysia mengemukakan permohonan semakan semula terhadap
penghakiman ICJ.
"Kita percaya jika berasaskan kepada kenyataan Peguam Negara (Tan Sri
Mohamed Apandi Ali) bahawa masih mempunyai penemuan baharu dalam soal
ini, maka saya berharap usaha ini akan diteruskan.
"Mudah-mudahan kita akan mendapat keputusan positif dalam perkara ini.
Saya percaya ini membabitkan soal keputusan yang akan dibuat oleh ICJ
oleh demikian kita tunggu perkembangan daripada mereka," katanya seperti
dilaporkan Berita Harian.
Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media selepas
menyempurnakan majlis penyerahan surat tawaran dan kunci inkubator
Perbadanan Islam Johor (PIJ) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini,
Jumaat malam.
Dalam satu kenyataan terdahulu, Mohamed Apandi berkata, Malaysia
memfailkan permohonan itu di ICJ, The Hague, Belanda, selepas meneliti
beberapa fakta, antaranya ketika keputusan dibuat, ia tidak diketahui
oleh mahkamah serta Malaysia, sebagai negara yang menuntut semakan.
ICJ memutuskan kedaulatan Batu Puteh yang terletak di perairan luar
pantai Johor adalah milik Singapura dengan keputusan majoriti 12:4,
manakala Batuan Tengah pula diputuskan sah milik Malaysia dengan
keputusan majoriti 15:1.
Bagi Tubir Selatan, hak kedaulatannya akan ditentukan mengikut
persempadanan perairan negara yang menguasainya. Mohamed Khaled berkata,
kerajaan negeri berharap keputusan terbaharu itu memberi harapan Batu
Puteh kembali menjadi hak Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.