KUALA LUMPUR: Hasrat Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah
Persekutuan adalah bermatlamat untuk memastikan negeri itu mendapat
limpahan pembangunan yang sama rata.
Tengku Adnan berkata idea yang dilontarkan beliau itu bukanlah berniat
mahu meluaskan kuasa ke negeri itu, sebaliknya disebabkan keprihatinan
beliau terhadap nasib Melayu di sana.
"Apa yang berlaku di Pulau Pinang kita tahu, dia (kerajaan negeri)
tidak pedulikan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas Majlis
Khatam al-Quran Wilayah Persekutuan 2017, semalam.
Beliau berkata sekiranya perkara itu dapat direalisasikan, kerajaan
pusat akan memastikan bahawa cara pembangunan di Pulau Pinang adalah
untuk semua dan bukanlah untuk satu-satu kaum sahaja.
"Kita akan mentadbir daripada peringkat kerajaan pusat seperti di
Labuan yang mana kita telah laburkan lebih RM5 bilion sejak dari tarikh
kita ambil alih dan kita akan pastikan bahawa cara pembangunan itu untuk
semua dan sama rata," katanya.
"Saya hairan kenapa parti DAP meloncat-loncat dalam isu
ini...barangkali mereka tahu yang kita tahu yang mereka tidak melaksana
pentadbiran dengan baik di Pulau Pinang," katanya.
Namun, kata Tengku Adnan, semua itu hanyalah idea daripada beliau
sendiri sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan perkara itu memerlukan
kertas cadangan, referendum serta persetujuan di peringkat kepimpinan
negara.
Jelasnya bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi idea yang sama turut
dirasakan bersesuaian di Langkawi, Kedah; Pulau Tioman, Pahang dan
sebahagian Melaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.