LUNDU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK)
Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu, akan dibantu ahli keluarganya
sepanjang tempoh berkempen memandangkan beliau masih dalam edah.
Anak Jamilah, Azizul Annuar Adenan berkata ahli keluarganya akan
berkampung di kawasan itu sepanjang tempoh berkempen hingga hari
pengundian.
Katanya mereka akan berkempen mengikut perancangan yang dibuat oleh
jentera pilihan raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN
Sarawak.
"Insya-Allah memandangkan ibu masih dalam tempoh edah, saya,
adik-beradik yang lain serta ahli keluarga akan turun berkempen
membantu," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan
calon PRK itu di Dewan Masyarakat Lundu hari ini.
Azizul yang merupakan anak bongsu Jamilah dan Tan Sri Adenan Satem,
berkata strategi kempen yang dirancang termasuk penggunaan media sosial.
Beliau turut melahirkan rasa syukur dengan kelancaran proses penamaan
calon hari ini serta berterima kasih kepada pucuk pimpinan PBB, BN serta
anggota parti yang hadir memberikan sokongan kepada ibunya.
Ditanya mengenai PRK Tanjung Datu melibatkan pertandingan 3 penjuru,
Azizul berkata sistem demokrasi yang diamalkan perlu dihormati.
"Kami semestinya mengharapkan tiada pertandingan, tetapi tidak mengapa
untuk mempunyai lawan pada PRK ini, kita akan lihat (keputusan) apabila
pengundi turun hari pengundian nanti," katanya.
PRK Tanjung Datu diadakan susulan kematian penyandang, Tan Sri Adenan
Satem yang juga Ketua Menteri ke-5 Sarawak pada 11 Januari lalu akibat
komplikasi jantung.
Pada PRK itu, Jamilah bakal berdepan dengan saingan tiga penjuru 18
Februari ini, menentang calon PBDBS, Rapelson Richard Hamit dan calon
STAR, Johnny Bob Aput.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.