Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di Kelantan
pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ia tidak akan menguntungkan
Amanah, demikian tegas Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Kelantan, Datuk Dr
Mohd Fadzli Hassan.
Sebaliknya menurut beliau, ia hanya memberi kelebihan kepada Umno, dengan niat mahu menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan kewujudan komplot antara
Amanah Kelantan dan Umno Kelantan untuk menjatuhkan PAS menerusi
pertandingan tiga penjuru.
"Tetapi yang jelasnya jika berlaku pertandingan tiga penjuru dan fokus
Amanah adalah pengundi PAS, maka ia sedikit pun tidak menguntungkan
Amanah di Kelantan.
"Berapa ramai dan berapa peratus bekas ahli PAS yang menyeberang
menjadi ahli Amanah? Saya yakin mereka tidak akan menang, tetapi tujuan
masuk untuk menarik sokongan ahli-ahli PAS dan itu menguntungkan siapa?
Menguntungkan Umno.
"Jika perkara itu betul kalau ada orang mengatakan semacam ada satu
pakatan yang rasmi tetapi seperti persefahaman politik, ia seperti
semata-mata hendak jatuhkan PAS," katanya yang ditemui pemberita, petang
tadi.
Tambahnya, Umno sememangnya diketahui memusuhi PAS, maka tindakan
Amanah sebagai 'pengganggu' secara tidak langsungnya seperti berpakat
dengan parti itu.
Dakwaan komplot itu tersebar di media sosia sejak beberapa hari lalu,
tetapi ia dinafikan oleh Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul
Rahim Wan Abdullah.
Sementara itu, Fadzli turut diminta mengulas 'kebimbangan' bekas exco
kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa terhadap peningkatan kes-kes
yang dibawa ke mahkamah berkaitan pentadbiran PAS Kelantan.
"Ada kes lama dan ada kes baru, kebanyakkan kes itu belum diputuskan
dan kita tak tahu siapa yang bersalah, mungkin kerajaan Kelantan akan
menang kes itu.
"Jadi biasa kerajaan negeri yang banyak agensi-agensi yang melakukan
perniagaan dengan pihak swasta dan yang lain-lainnya yang berhadapan
dengan kes sebegini. Bukan kes baru, ada kes yang sudah lama di zaman
Tok Guru (Allahyarham Datuk Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat)," katanya.
Husam merujuk kepada kes saman firma Dae Hanguru Infra Sdn Bhd dalam
samannya ke atas anak syarikat kerajaan negeri - Baldah Toyyibah
(Prasarana) Kelantan Sdn Bhd dan kes arahan menteri besar pada 2013,
dalam satu minit mesyuarat, serta beberapa kes lain lagi.
Husam yang kini menyertai Amanah membuat perbandingan pentadbiran di
bawah Nik Aziz dan menteri besar sekatang, Datuk Ahmad Yakob.
"Tak boleh dibuat perbandingan kerana saya exco zaman Tok Guru yang di
zaman Datuk Husam pun jadi exco. Saya boleh melihat ada kelebihan dan
kekurangan masing-masing.
"Kita tak boleh melihat kelemahan satu-satu pentadbiran itu kerana
banyaknya kes semata-mata tanpa melihat latar belakang kes itu sendiri,"
katanya sambil menambah pentadbiran di bawah Ahmad berjalan dengan
baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.