ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat
Nadzari Ahmad Dahlan hari ini mengambil tindakan undang-undang terhadap
kerajaan negeri Selangor.
Ia susulan daripada keputusan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Hak
dan Kebebasan DUN Selangor untuk mengambil tindakan selepas Nadzari
mendakwa pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.
Nadzari berkata tindakan saman pemula itu bagi mendapatkan
pengisytiharan bahawa ucapannya dalam perbahasan Bajet Selangor 2017
mendapat perlindungan peruntukan undang-undang.
"Hari ini seperti yang kita janjikan tempoh hari ekoran daripada
pendakwaan terhadap diri saya yang dibawa kepada Jawatankuasa Hak dan
Kebebasan DUN Selangor baru-baru ini. Jadi hari ini kita memfailkan
saman pemula untuk melihat apakah intrepretasi sebenar yang boleh kita
pakai terhadap dakwaan yang dijatuhkan ke saya.
Saman itu difailkan melalui Tetuan Kamarudin & Partners di
Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Setiausaha Dewan Undangan Negeri
(DUN) Selangor; Speaker DUN Selangor dan DUN Selangor.
Antara lain, Mat Nadzari memohon pengisytiharan mahkamah bahawa
ucapannya pada 1 November 2016 itu mendapat perlindungan di bawah Jadual
menurut Artikel 77 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan Jadual serta
Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa ucapan itu tidak melanggar
atau bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Tetap (Standing Order)
36(6) Dewan Negeri Selangor, berdasarkan terjemahan sebenar peruntukan
itu serta Peraturan-Peraturan Tetap 36(10) atau sub peraturan dalamnya.
Terdahulu pada sidang DUN November lalu, Mat Nadzari mendakwa bahawa
terdapat isi ataupun niat dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja
berperlembagaan.
Susulan tindakan itu, beliau menerima notis bertarikh 18 Januari 2017
untuk memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN
Selangor berhubung ucapannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.