ANTARAPOS.COM
KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan Korea
Utara perlu belajar menghormati negara lain dan melihat kepentingan
masyarakat antarabangsa dalam menyelesaikan isu kematian Kim Jong-nam.
Timbalan Perdana Menteri berkata, negara berkenaan tidak boleh melihat
kes itu sebagai isu dalaman semata-mata kerana ia turut membabitkan
masyarakat antarabangsa dan hubungan pelbagai negara.
"Korea Utara perlu menghormati hubungan diplomatik antarabangsa. Bagi
mereka ia (kes Jong-nam) bukan berkaitan isu antarabangsa tetapi sebagai
isu mereka. Saya fikir Korea Utara perlu belajar menghormati negara
lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tertutup di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas pengusiran Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, semalam.
Katanya, walaupun keputusan pengusiran itu dikeluarkan Kementerian Luar, ia adalah keputusan Kabinet.
"Ia sebenarnya keputusan dibuat oleh Kabinet dan saya fikir kita sudah
beri mesej yang jelas kepada kerajaan Korea Utara, kita serius
menyelesaikan masalah ini dan tidak mahu ia dimanipulasi.
"Pendirian duta (Kang Chol) menunjukkan mereka cuba untuk memanipulasi
isu itu. Kita lakukannya secara profesional dari segi penyiasatan saksi,
termasuk beberapa bukti yang kita jumpa melalui DNA, forensik, kamera
litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi, juga beberapa elemen perisikan
yang kita jumpa," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sebagai masyarakat
antarabangsa semua negara harus bekerjasama dan bukan memburukkan atau
memanipulasikan sesuatu isu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.