ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Cadangan menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah
Perlembagaan Persekutuan perlu ditolak kerana dikhuatiri akan
disalahgunakan untuk menghakis hak dan kepentingan orang Melayu dan anak
negeri Sabah dan Sarawak serta kedudukan agama Islam di negara ini.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, sebaliknya
apa yang penting rakyat Malaysia harus menumpukan taat setia kepada
negara dan menghormati peruntukan-peruntukan Perlembagaan dan hak-hak
yang dipersetujui serta termaktub di dalamnya.
“Biarlah Perlembagaan kekal sebagai Perlembagaan dan Rukun Negara kekal sebagai Rukun Negara.
“Saya tidak menentang jika semasa Suruhanjaya Reid menggubal
Perlembagaan Persekutuan dahulu, apa yang saya tentang ialah cubaan
mengambil Rukun Negara yang digubal untuk tujuan lain bagi dijadikan
mukadimah,” katanya.
Perutusan beliau itu dibacakan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pada sidang meja bulat Perkasa
mengenai isu Rukun Negara dijadikan Mukadimah Perlembagaan Persekutuan
di sini hari ini.
Baru-baru ini, sekumpulan individu membabitkan ahli akademik, peguam
dan aktivis dikenali sebagai Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan (RMP)
mengusulkan Rukun Negara dijadikan mukadimah Perlembagaan Persekutuan
bagi mengatasi masalah yang timbul kerana Rukun Negara dipinggirkan dan
diketepikan.
Pengerusi RMP, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Rukun Negara perlu
dikaitkan dengan Perlembagaan bagi membolehkan ia dirujuk secara tidak
langsung sebagai garis panduan dalam penggubalan dasar dan undang-undang
negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.