Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan Malaysia mengusir Duta Korea Utara, Kang
Chol, adalah bagi mempertahankan kedaulatan negara daripada
diperkotak-katikkan pihak asing, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat bersandarkan soal prinsip
selepas duta itu enggan memohon maaf mahupun menarik balik kenyataan
yang dibuat sebelum ini.
"Keputusan yang kita buat, tentang soal prinsip, maknanya kita sebuah negara yang berdaulat.
"Mesti menghormati negara kita dan kalau mereka buat tuduhan yang tidak
berasas, maka dia patutnya meminta maaf dan menarik balik kenyataannya
tersebut. Tapi dia tidak buat demikian maka berdasarkan kepada prinsip,
kita buat tindakan untuk isytihar dia sebagai persona non grata.
"Bererti bahawa kita memang tegas dalam soal maruah kita, kedaulatan
kita, tiada sesiapa boleh menghina negara kita ataupun memperkotak
katikkan negara kita sewenang wenangnya," katanya ketika ditemui
pemberita di lobi Dewan Rakyat sebentar tadi.
Kang Chol sebelum ini mengeluarkan kenyataan 'biadab' apabila menuduh
Malaysia bersubahat dengan Korea Selatan bersabit kes pembunuhan Kim
Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Ekoran itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengarahkan Kang Chol
hadir ke kementerian bagi memberikan penjelasan dan permohonan maaf
secara bertulis bagi dakwaan-dakwaan yang dilontarkannya ke atas
Malaysia.
Namun, duta itu gagal menghadirkan diri.
Berikutan itu, Anifah pada Sabtu, mengisytiharkan Kang Chol sebagai Persona Non Grata dan dikehendaki meninggalkan Malaysia.
Dalam pada itu, Najib ketika ditanya sama ada Malaysia akan mengkaji
semula hubungan dengan Korea Utara, kata Najib, kerajaan akan mengambil
langkah satu persatu.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.