Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] "Sebelum
Almarhum meninggal dunia, dia sebut kepada saya secara langsung, bahawa
menubuhkan parti-parti baru ini memecah-belahkan umat Islam dan hukum
dia adalah haram."
Demikian tegas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Mohamad
Zawawi Nik Salleh sebagai memperjelaskan pendirian khusus bekas Menteri
Besar Kelantan itu.
Beliau berkata adalah mustahil almarhum menyokong politik pembangkang
dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagaimana yang
didakwa Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa.
Katanya, almarhum berpegang kuat kepada prinsip perjuangan Islam serta
menentang penubuhan parti-parti baru kerana ia memecahbelahkan
masyarakat Islam.
Minggu lalu, Mat Sabu dalam ucapannya di Seminar Pemikiran Tuan Guru
Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa PAS gagal mewarisi pemikiran perjuangan
almarhum mengakibatkannya tersasar dari landasan perjuangan almarhum.
Beliau memuji almarhum sebagai seorang yang berpandangan jauh baik di
segi pengurusan kerajaan negeri dan ampuh strategi politiknya menghadapi
parti lawan.
PAS-Umno seiring sejalan lepas Nik Aziz tiada
Sebaliknya, Mat Sabu mendakwa PAS kini 'seiring sejalan' dengan Umno,
satu keadaan yang amat ditentang oleh almarhum ketika memimpin PAS
dahulu.
Mat Sabu berkata, almarhum Nik Aziz seorang yang 'futuristik' dan
berpandangan ke hadapan seraya cuba mengaitkan dilema PAS kini dengan
peristiwa Nabi Nuh a.s.
"Nabi Nuh telah membina kapal kerana mendapat ilmu menerusi ilham dan
wahyu, bahawa akan berlakunya banjir besar. Dia membina kapal ketika
hujan belum turun lagi. Tetapi anaknya tak ikut.
"Iman itu tak dapat diwarisi, kita kena faham. Jika ada anak tak ikut
pandangan bapa atau sebagainya, kerana iman tak diwarisi.
“Malah dikatakan pula, air baru naik sedikit, bukit ada lagi. Kemudian
dirasakan bukit semakin tenggelam, dikatakan pula gunung masih ada.
“Dicari-cari kemudian jumpa Umno," sindir beliau terhadap keadaan kepemimpinan PAS setelah ketiadaan Nik Aziz.
Mat Sabu tak punya ilmu Islam yang mantap
Bagaimanapun Nik Zawawi menyifatkan Mat Sabu 'tidak mempunyai ilmu
Islam yang mantap', kerana iman adalah sesuatu yang terletak di dalam
hati manusia serta 'tidak berjangkit'.
"Kenyataan-kenyataan seumpama ini tidak menggambarkan seseorang itu
mempunyai ilmu Islam dan dia (Mat Sabu) tidak faham agama,” katanya.
Justeru PAS mempertikaikan bagaimana Amanah merumuskan bahawa pemikiran
almarhum selari dengan perjuangan mereka sedangkan almarhum bersama PAS
sehingga akhir hayatnya.
Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi
membidas Amanah menggunakan 'pandangan' orang sudah meninggal dunia demi
menghalalkan cara politiknya.
Beliau mengulas dakwaan Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa kononnya
jika masih hidup, almarhum akan menyokong kerjasama Pakatan Harapan
(PH) dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Khalil, orang sudah meninggal dunia tidak boleh buat hujah
untuk menyokong sesiapa seraya menegaskan Nik Aziz meninggal sebagai
Mursyidul Am PAS.
“Jadi bagaimana Amanah berhujah Tok Guru akan ikut pendekatan yang diambil mereka pada hari ini?” tegasnya.
Guna nama Nik Aziz untuk kepentingan politik tindakan dangkal
Khalil menyifatkan sebagai dangkal menggunakan nama Nik Aziz semata-mata untuk menghalalkan tindakan mereka keluar PAS.
"Ini satu tindakan untuk menutup kelemahan yang ada pada Amanah dengan
'menampal' seorang tokoh yang disegani oleh seluruh rakyat (pada
imejnya)," katanya.
Mengenai dakwaan bahawa perjuangan Amanah 'direstui' Nik Aziz kerana
aliran PAS kini tidak lagi sama sebagaimana yang pernah dipimpin tokoh
berkenaan, Khalil menegaskan:
“PAS 'hidup' bukan berpaksikan perjuangan individu semata-mata. PAS
mempunyai perlembagaan yang jelas disebut di dalamnya dasar Islam,
bersumberkan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.
"Tok Guru sebagai seorang tokoh PAS meninggal sebagai ahli jemaah PAS.
Jadi bagaimana mereka boleh kata PAS lari dari dasar perjuangan Islam?
".
Bagaimanapun Mat Sabu masih menyifatkan Amanah adalah satu-satunya
perjuangan tulen yang diterjemahkan menerusi kepimpinan almarhum Nik
Aziz.
Namun bersediakah Mat Sabu dan Amanah menafikan bahawa almarhum Nik
Aziz sendiri ada memfatwakan bahawa tindakan menubuhkan parti-parti baru
adalah haram kerana ia boleh memecahbelahkan parpaduan ummah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan