ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus komited mendukung
Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama
bagi Persekutuan dengan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan
damai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, banyak yang sudah
dilaksanakan kerajaan untuk memastikan Islam terus berkembang dan
kebajikan umatnya di negara ini terus dipelihara.
Katanya, ia termasuk menyalurkan peruntukan masing-masing RM50 juta
kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Pondok yang berdaftar
seperti diumumkan dalam Bajet 2017.
Beliau berkata, pendekatan wasatiyyah dalam pentadbiran kerajaan juga
menarik minat banyak pihak dan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam
progresif di mata dunia.
Katanya, konsep wasatiyyah, keadilan sosial dan kesaksamaan akan terus
menjadi pegangan selagi beliau masih menjadi Perdana Menteri termasuk
dalam hal ehwal politik.
"Kita mendapat banyak pengiktirafan antarabangsa dalam usaha kita
memerangi keganasan yang kononnya berlandaskan Islam, contohnya ketika
lawatan saya ke India baru-baru ini, Perdana Menteri Modi (Narendra)
menyatakan minat beliau dalam pelan deradikalisasi Malaysia.
"Suara kita turut didengari apabila kita membantah kekejaman terhadap
etnik Rohingya di Myanmar. Ulama terkenal seperti Mufti Menk (Ismail ibn
Musa Menk) juga menyokong usaha Malaysia dalam menyebarkan Islam yang
berpaksikan kesederhanaan dan kasih sayang," katanya dalam entri terbaru
di blognya, NajibRazak.com, hari ini.
Perdana Menteri berkata, sebelum ini, umat Islam di Malaysia
berpecah-belah dan ada pemimpin yang membantutkan pembangunan di negeri
tertentu kerana fahaman politik yang berbeza.
"Alhamdulillah, realiti semasa sudah berubah. Umat Islam di Malaysia
sudah bekerjasama dan bersatu dalam memastikan kebajikan umat Islam dan
kesucian agama terus dipelihara.
"Dari segi pembangunan pula, tiada negeri yang ditinggalkan. Contohnya,
dalam merangka projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), negeri Kelantan
di bawah pentadbiran PAS akan turut menerima manfaat pembangunan apabila
stesen terakhir terletak di Pengkalan Kubor, Tumpat, " katanya.
Mengulas usaha kerajaan selama ini dalam membangunkan hal ehwal Islam,
Najib berkata kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta bagi menyelaraskan
pendidikan tahfiz melalui Dasar Tahfiz Negara ke arah memastikan
institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur dan berkembang.
Beliau berkata, kerajaan menyedari pendidikan al-Quran dan tahfiz
al-Quran adalah ramuan signifikan dalam memelihara Islam, sekali gus
menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap Islam.
"Ini juga adalah salah satu cara kerajaan untuk memastikan fahaman ekstremis tidak menular di Malaysia.
"Ini sejajar dengan visi saya untuk membina sumber tenaga manusia yang
holistik, bukan sahaja berkebolehan dari segi akademik tetapi
berkeupayaan dalam pelbagai aspek termasuk ketakwaan dan jati diri
sebagaimana dituntut oleh Islam," katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kebajikan pihak yang terbabit
dalam bidang agama akan terus menjadi agenda utama kerajaan dalam
memperkasakan Islam.
Perdana Menteri berkata, perjalanan memartabatkan Islam masih jauh dan
masih banyak yang perlu dilakukan dalam memastikan Malaysia terus
menjadi negara Islam yang moden dan progresif.
Beliau berkata, ia bukanlah satu kerja yang mudah kerana Malaysia
adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan berbilang agama.
"Nescaya sensitiviti antara kaum haruslah diambil kira dalam penggubalan apa-apa polisi demi memelihara keamanan negara.
"Insya-Allah, dengan berkat-Nya, usaha kita untuk terus mendukung Islam akan terus dirahmati," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan