ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail
Ibrahim mengesahkan akan melantik jurulatih baru mengendalikan skuad
Harimau Malaya.
Ia susulan kegagalan menyelesaikan isu pelantikan bekas jurulatih Johor
Datul Takzim (JDT) Mario Gomez, 60, yang didakwa memohon gaji lebih
daripada yang ditawarkan FAM.
Tengku Makhkota Johor (TMJ) mendedahkan jurulatih dari Argentina itu
meminta gaji sebanyak RM180,000 (AS$40,000) sebulan, berbanding
RM110,877 (AS$25,000) yang ditawarkan kepadanya.
“Saya dimaklumkan bahawa Mario Gomez menafikan bahawa beliau meminta
gaji yang tinggi. Kami tawarkan AS$25,000 (RM110,877), tetapi beliau
meminta lebih.
“Adakah itu tidak bermakna bahawa beliau meminta lebih daripada apa
yang kami tawarkan? Tak mengapalah, kami akan mencari individu lain yang
betul-betul mahu menjadi jurulatih Malaysia,” lapor akhbar Kosmo!.
Gomez terdahulu menafikan pernah menuntut gaji lebih ketika ditawarkan untuk mengendalikan Harimau Malaya.
“Sebenarnya saya tidak menuntut gaji lebih apabila mendapat tawaran untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan.
“Semalam (Isnin) baginda menawarkan saya gaji dengan tambahan lapan
peratus berbanding imbuhan yang saya peroleh ketika mengendalikan JDT.
“Kemudian saya kata 'okay' dan bersetuju untuk menandatangani kontrak
selama dua tahun. tetapi sebelum kontrak ditandatangani, baginda
bertitah, 'saya mahu fikir dahulu dan akan kembali menghubungi kamu'.
“Jadi saya agak keliru kerana penangguhan untuk menandatangani kontrak
itu dikatakan berpunca daripada saya yang meminta gaji lebih, pada hal
saya tidak berbuat demikian,” katanya.
Kosmo! melaporkan Gomez memperoleh RM100,000 sebulan ketika mengendalikan JDT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.