ANTARAPOS.COM
KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengenal pasti
beberapa calon jurulatih luar yang berminat untuk memikul tanggungjawab
selaku pengendali skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun, presidennya, Tunku Ismail enggan terburu-buru dalam
membuat keputusan terutama selepas persatuan itu kini berdepan dengan
kekangan kewangan namun tetap mahukan individu yang terbaik sebagai
jurulatih skuad kebangsaan.
"Kita sudah berjumpa dengan beberapa calon yang berminat dan
menerangkan kepada mereka mengenai perancangan dan projek yang kita mahu
sasarkan.
"Mereka faham apa kehendak dan sasaran kita dan pengendali skuad bawah
23 tahun Australia, Josep Gombau juga berminat namun ketika ini, dia
masih terikat dengan komitmen bersama pasukan itu.
"Tetapi kita melihat kepada perancangan bagi jangka panjang. Apapun,
mungkin dalam beberapa minggu lagi, kita akan dapat keputusannya,"
katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO FAM kali pertama bagi
penggal 2017-2021 di sini, hari ini.
BH Sukan sebelum ini melaporkan FAM bersedia untuk mencari alternatif
lain bagi jawatan jurulatih skuad kebangsaan selepas gagal meraih kata
sepakat berkaitan kontrak dan gaji bersama calon utama mereka yang juga
bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe
sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan, Tunku Ismail kini
menyerahkan keputusan di tangan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
"Terpulang kepada KFA untuk melepaskan dia (Cheng Hoe) dan terserah
juga kepada dia untuk datang kepada kita. Keputusan terletak di tangan
dia sama ada mahu menyertai kami ataupun tidak.
"KFA juga sudah memohon masa kepada kita berhubung perkara ini. Apa
yang jelas, kita mahukan jurulatih tempatan yang terbaik dan Cheng Hoe
adalah individu terbabit," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.