Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Datuk Mahfuz Omar tidak terkesan dengan kenyataan Mursyidul
Am PAS, Hashim Jasin yang menganggap beliau bukan lagi ahli parti itu.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu sebaliknya berkata, kenyataan Hashim itu
bagaimanapun telah merosakkan imej PAS itu sendiri pada pandangan umum.
"Terima kasih kepada Ustaz Hashim nak kata apa pun saya tidak terkesan
apa-apa, cuma saya agak risau ialah kenyataan Ustaz Hashim itu boleh
memburukkan imej PAS," katanya kepada Antarapos.
Hashim yang dipetik sebuah portal semalam berkata, Mahfuz tidak lagi
dianggap sebagai ahli PAS selepas beberapa siri tindakan pemimpin itu
yang bertentangan dengan pendirian parti, termasuk menyertai ceramah
anjuran Amanah, parti serpihan PAS.
Terbaru, Mahfuz membidas tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang yang 'mendiamkan diri' mengenai penangguhan sesi perbahasan
pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016
atau Akta 355 oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia,
Jumaat lalu.
Hashim juga berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap Mahfuz sebelum sidang Dewan Rakyat yang akan datang.
Mengulas mengenai hal itu, Mahfuz menyifatkannya sebagai satu perkara yang tidak wajar.
"Dia tidak boleh dilihat interfere (masuk-campur), campur tangan dalam
urusan orang lain sebab dia adalah tempat rayu, tempat orang yang nak
diambil tindakan itu membuat rayuan, jadi kalau dia dah pastikan pihak
lain ambil tindakan jadi nak rayu dekat dia, tiada, justeru tiada proses
keadilan," kata beliau.
Tambah bekas Naib Presiden PAS itu, sebarang tindakan yang bakal
dikenakan terhadapnya perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dalam
parti.
"Ustaz Hashim kena sedar dia adalah orang tertinggi di dalam parti
iaitu Masjlis Syura, jadi Mursyidul Am dan yang paling tinggi
Muktamarlah, tapi selepas Muktamar tu maknanya dia lah (Majlis Syura)
iaitu Mursyidul Am."
"Bila dia kata begitu, ini membina persepsi masyarakat bahawa berlaku
campur tangan dalam parti iaitu Majlis Syura yang diketuai oleh
Mursyidul Am ni iaitu Ustaz Hashim, beliau sudah masuk campur
jawatankuasa disiplin atau jawatankuasa PAS pusat sebab urusan tindakan
disiplin, tatatertib ni kepada mana-mana orang pun, dia adalah di bawah
jawatankuasa disiplin, tatatertib atau di bawah jawatankuasa PAS pusat".
"Orang boleh mengadu kepada PAS pusat, PAS pusat serah kepada
jawatankuasa disiplin, jawatankuasa disiplin boleh mengambil tindakan,
kemudian maklumlah. Jadi, ambil tindakan kepada mana-mana orang ataupun
saya contohnya. Ambil tindakan pecat atau sebagainya, jadi saya boleh
merayu kepada jawatankuasa PAS pusat," ulas Mahfuz lagi.
Mahfuz juga mengulangi bahawa beliau masih sayang kepada PAS, justeru
tegasnya segala kritikan yang diberikan kepada parti adalah kritikan
yang membina dan bertujuan untuk memperbaiki PAS.
"Bagi saya itu bukan kritikan membabi buta, itu kritikan untuk
memperbaiki PAS. Teguran, kritikan, perbezaan pendapat dan sebagainya
untuk memperbaiki PAS dan juga melihat kepada masa depan PAS itu
sendiri," katanya lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.