shahbudindotcom
Di
bawah ini adalah teks yang sudah disiapkan oleh Ahli Parlimen Parit
Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa untuk ucapan bahas kepada usul
persendirian meminda Akta 355 oleh Ahli Parlimen Marang, Hadi Awang.
هَ
يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ
وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ
لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
[Surat An-Nahl 90]
‘Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu melakukan keadilan dan membuat kebaikan serta
memberi bantuan pada keluarga terdekat dan anak yatim serta mencegah
kamu dari keburukan, munkar dan melampai batas. Dia mengajar kamu semoga
kamu mendapat peringatan’
Nabi bersabda: dari Abi Ya’la al Shaddad;
‘Sesungguhnya
Allah telah menetapkan Ihsan atas segala sesuatu (yang kamu lakukan),
jika kamu menamatkan nyawa binatang untuk disembelih maka berlaku
ihsanlah (jangan siksakannya), dan jika kamu sembelih maka berlaku
ihsanlah dengan sembelihan kamu, tajamkan pisau salah seorang kamu dan
tenangkanlah sembelihannya (jgn siksakannya)’ (hadis riwyat muslim).
Sesungguhnya
keadilan itu diiringi dengan sifat ihsan dan berbuat kebajikan. Al
Quran membayangkan keperluan menegakkan keadilan melalui kaedah ihsan
sebagaimana hari ini walau baik sekalipun sesuatu undang-undang ia
mestilah melalui proses dan tertib secara demokrasi.
Walaupun
hadis yang dipetik menyebut tentang perbuatan menyembelih binatang
ternakan dengan ihsan, ia membawa pengajaran bahawa perintah Allah
mestilah dijalankan secara tertib undang-undang mengikut kaedah dan
proses yang diterima pada realiti sesebuah masyarakat dan negara.
Sesuatu yang baik jika tidak kena cara dibawa boleh merosakkan kebaikan
yang hendak dibawa apatah lagi jika ia dikaitkan dengan nama Islam. IS
mendakwa membawa Syariat tetapi IS juga merosakkan nama Islam kerana
kaedah dan caranya yang hilang sifat Ihsan.
Jangan
terpedaya dengan nama dan label Islam, sebab itu dalam konteks
perundangan, perbahasan secara bertanggungjawab kepada perlembagaan
negara dan asas negara amat penting bagi memastikan hak Ihsan dipenuhi
dalam hasrat kita menegakkan keadilan.
Tuan Speaker,
1.
Saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Marang yang telah
berjaya membentangkan dan memperincikan pindaan RUU 355 sebagai usul
persendirian. Selama ini usul persendirian atau private members bill
(PMB) belum pernah diberi peluang apatah lagi Marang diberi laluan 2
kali dan hanya pada kali ke 3 perincian dibuat pada majlis yang sama.
Syabas pada satu kes yang jarang berlaku, semoga ia menjadi kes awalan
pada kami yang lain untuk menggunakan PMB dalam membuat pindaan akta
atau memperkenalkan akta baru yang lain.
2.
Pindaan yang dihasratkan oleh Marang ialah berkenaan dengan Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Marang berhasrat
meningkatkan had hukuman dari ketetapan yang sedia ada kepada
100sebatan, 30 tahun penjara dan 100ribu denda. Had hukuman yang sedia
ada ialah 6 sebatan, 3 tahun penjara dan RM5,000 denda. Sebagaimana yang
telah ditegaskan oleh penyokong usul iaitu sahabat saya Kota Bharu, ini
bukan kali pertama pindaan dibuat sejak diperkenalkan, sebanyak 2 kali
pindaan dibuat iaitu 1984 dan 1989. Had hukuman paling awal ialah
penjara 6 bulan penjara dan denda RM1000 tanpa hukuman sebatan.
3.
Persoalan saya kepada Marang ialah mengapakah peningkatan dari tahap 6,
3, 5 sekarang dinaikan begitu drastik kepada maksimum100x sebatan , 30
tahun penjara, 100ribu denda? Kalau 100x sebatan syarie adalah patuh Al
Quran bagaimana 30 tahun dan RM 100Ribu? Walaupun ia dalam bab Takzir
(hukuman selain hudud) apa logiknya? Undang-undang Jenayah Syariah
adalah kesalahan agama oleh seorang Muslim yang telah disenaraikan. Jika
logiknya sekadar meningkatkan hukuman supaya lebih tinggi dari Mahkamah
Majistret, sudahkah dibuat kajian keberkesanan yang sedia ada? Adakah
ketidak berkesanan itu kepada had hukuman ataukah penguatkuasaan dan
pendakwaan dan kurang aspek pendidikan?
Tuan Speaker
4.
Amalan perundangan negara kita ialah Sivil dan undang Syariah,
keterbatasan syariah adalah kerana beberapa sebab. Pertama Mahkamahnya
adalah di bawah kuasa negeri yang diperuntukkan, kedua pesalahnya hanya
untuk orang Islam dan ke tiga senarai jenayah syariah tidak boleh
bertindih dengan jenayah sivil mengelakan double jeorpady ( dihukum dua
undang dari kesalahan yang sama).
5. RUU 355
adalah doktrin menghadkan atau limitasi kuasa agar tidak dilihat
bersaing tetapi masing-masing tidak boleh campurtangan, diselesaikan
oleh Perkara 121(1A) yang jelas mengendalikan soal campurtangan.
Walaupun ada kasus yang menguji keberkesanan perkara 121(1A), namun
pemisahan kuasa itu wujud. Sudahkah dirujuk doktrin pemisahan dan
persaingan hukuman dalam kerangka besar perundangan negara? Hal ini
tidak dibangkitkan oleh pencadang dan penyokong dalam usul Marang.
6.
Premis Marang hanyalah Syariah yang diperundangkan tanpa melihat
kerangka besar perundangan negara dan undang-undang lain yang sepatutnya
diteliti dan dirujuk kepada konsep besar Maqasid Syariah yang bebas
bergerak dalam kerangka yang lebih besar.
7.
Umpamanya dalam hal SOSMA, AKTA HASUTAN dll di mana sebahagian besarnya
tidak menepati konsep keadilan dan kemanusian yang merupakan teras
SYARIAH. Saya menyebut demikian kerana isu 355 ini dikatakan ianya
adalah SYARIAH dan wajib disokong sedangkan akta lain yang jelas
bercanggah dengan prinsip syariah tidak pula dianggap SYARIAH yang wajib
disanggah. Obsesi pengikut dan penyokong syariah seolah menganggap 355
adalah segalanya adalah salah faham yang parah terhadap fahaman SYARIAH
ISLAM sebenarnya.
Tan Sri Speaker
8.
Saya tidak dapat mengelak menegur sebahagian kita yang gagal mendidik
rakyat bagaimana sesebuah perundangan dibikin atau dipinda. Selain dari
niat yang baik, sesuatu usaha perundangan perlu melalui proses
konsultasi pihak pakar, pihak berkepentingan dan orang awam. Dalam
proses itu tautan melalui dialog, forum yang melibatkan semua pihak
amatlah penting. Lebih malang 355 ini kerana dibawa oleh Marang dan
bukan kerajaan telah menimbulkan berbagai reaksi yang memburukkan niat
yang baik. Kerana itu ada pihak yang mengambil kesempatan menjadikan 355
sebagai tunggangan politik dan tidak kurang telah melahirkan pentaksob
kaum dan agama yang mengambil kesempatan.
9.
Pada waktu yang sama golongan yang senantiasa mengaitkan Marang dan
partinya dengan ‘hudud’ melahirkan penentangan yang tegar kepada RUU 355
sehingga sanggup membawa kes ini ke Mahkamah sebagai alasan ‘tidak
berperlembagaan’ Bukankah ini menimbulkan konflik perundangan kerana
Marang yang membawanya dan mungkin berbeza jika kerajaan sendiri yang
mengusulkannya? Parlimen tidak boleh mengizinkan 355 yang baik ini
menjadi polemik perundangan dan politik yang tidak berkesudahan.
10.
Saya turut heran kenapa Ummo/BN sebagai kerajaan tidak membawa usul ini
jika pemerkasaan mahkamah syariah adalah keperluannya, mengapa
membiarkan usul Marang menjadi bahan politik? Agenda politik apa yang
hendak dimenfaatkan? Tujuan politik Umno mendekati PAS kah atau tujuan
melemahkan pembangkang? Saya tidak boleh membiarkan keperluan murni ini
iaitu pemerkasaan mahkamah syariah diperalatkan sebegitu rupa malah cara
dan kaedah media perdana memaparkannya adalah untuk tujuan politik
Umno.
11. Bukti 355 dipolitikkan adalah jelas
dalam ucapan Presiden Umno di PAU 2016. Timbalan Presiden Umno turut
menyebut bahawa kerajaan akan adaptasi 355 usulan Marang. Parti komponen
Sarawak menolaknya begitu juga MCA, MIC dll. Bukankah ini menimbulkan
ketegangan politik? Apakah Umno/BN tidak tahu semua ini akan berlaku?
Apa perjanjian sulit yang berlaku antara PAS dan Ummo? Akhirmya PM
sebagai pengerusi BN menyatakan pendirian tidak mengambil usul Marang
untuk dijadikan usul kerajaan.
13. Maka sahlah
ia mainan politik Umno dan segala polemik akhirnya mengorbankan
pemerkasaan mahkamah syariah kerana pihak berwajib dari kerajaan Umno/BN
tidak akan mengambilnya untuk dibaca kali kedua sebagai RUU kerajaan.
Perbahasan kita hari ini hanyalah sekadar ‘akademik’ yang sudah
diketahui penyudahnya bahawa kerajaan tidak akan mengambilnya!
14.
Jikalau kerajaan tidak ambil RUU 355 Marang untuk dijadikan urusan
undang-undang kerajaan, tujuan apakah semua ini, setelah menimbulkan
polemik politik di bawah sana? Bukankah ia niat politik dan tiada kena
mengena dengan meningkatkan hukuman mahkamah syariah?
Tuan Speaker,
15.
Dalam proses meminda perundangan 355 ini yang caca marba, ramai yang
menjadi mangsa golongan TAKFIRI, iaitu sekelompok manusia yang kerjanya
menghukum dan mengkafirkan orang Islam semata-mata kerana mengkritik
cara RUU 355 dikendalikan. Begitu juga menggunakan institusi Mufti yang
menulis bahawa MP Muslim wajib sokong usul ini. Bagi Mufti yang
berpandangan usul 355 ini wajib dibahas dahulu untuk meneliti dan
memperincikannya dituduh pula Mufti ini dengan berbagai tuduhan.
Malangnya institusi mufti diheret sebegitu rupa.
16.
Oleh kerana itu, sudah tiba masanya jika isu pentadbiran Islam dan
mahkamah syariah mahu diperkasakan sebagaimana disarankan oleh TYDPA
dalam titah Baginda, sayugia pihak Parlimen yang mulia ini menubuhkan
jawatankuasa khas RUU 355 untuk diteliti dan dinilai serta diperincikan
secara holistik bukan sahaja dari sudut peningkatan hukuman tetapi juga
meningkatkan kecekapan pentadbiran dan gaji-gaji hakim mahkamah syariah
serta pegawainya dan meningkatkan tahap profesionalisma penguatkuasaan
dan pendakwaan.
17. Jawatankuasa khas (select
commitee) ini hendaklah dibentuk merentas kepartian dan inklusif dari MP
bukan Islam juga agar proses pemerkasaan Mahkamah Syariah berlaku
secara telus. Pada waktu sama jawatankuasa ini hendaklah melibatkan
institusi mahkamah syariah bagi membuat kajian menyeluruh bagi memenuhi
kehendak memperkasakan mahkamah dan pentadbiran Islam di Malaysia
mengikut perlembagaan persekutan. Hanya dengan kesungguhan ini barulah
Mahkamah Syariah akan dilihat terhormat dan bukan sekadar bahan dagangan
politik murahan untuk tujuan politik sempit. Saya dan rakan saya Kota
Raja dari AMANAH telah mengusulkan bawah peraturan 27(3) tentang semua
ini pada sidang lalu dan sidang kali ini sebagai komitmen kami dan
keseriusan kami pada isu ini.
Akhirnya Tuan Speaker
Usul
Marang dalam pindaan RUU 355 ini mohon diperincikan dalam jawatankuasa
khas parlimen dan hendaklah menggunakan proses sepatutnya yang bebas
tujuan politik serta diserahkan kepada kerajaan untuk dibentang secara
tertib.
Semoga tanggungungjawab kita sebagai penggubal undang-undang melepasi sentimen dan emosi politik..
Parit Buntar mohon mencadang…Terimakasih.
Ulasan blog - Semalam
ada yang tidak senang hati apabila blog ini menyiarkan hujah orang yang
sudah meninggal dunia sebagai paparannya. Mereka nampaknya lupa bahawa
Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kota Bharu ketika menyokong juga
memetik nama orang yang sudah meninggal dunia iaitu Allahyarham Tun
Abdul Rahman Yaakob dari Sarawak yang mula-mula membentangkan Akta 355
pada tahun 1965 sebagai sandaran kepada seruan bahawa Ahli-Ahli Parlimen
Sarawak seharusnya berbangga dan tidak menolak terhadap akta yang
diusulkan untuk pindaan oleh Hadi Awang melalui usul persendiriannya.
Kali
ini, disiarkan pula "hujah tak jadi" daripada Ahli Parlimen Parit
Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa yang sebenarnya sudah pun menyediakan
teks ucapannya untuk berbahas berkenaan Akta 355 itu, malangnya tidak
kesampaian kerana Speaker kononnya tidak mahu jadi "bloody fool" serta
ingin banyak rehat lantaran tidak cukup tidur pada hari sebelumnya.
Ada terlihat Dr. Mujahid yang kini bersama Amanah menentang Akta 355?
Malah, terlihat beberapa cadangan untuk menambah-baik lagi pindaan tersebut telah dilontarkan oleh beliau dalam ucapan bahasnya.
Mudah-mudahan
akhirnya, mereka yang suka dan hanya tahu menghukum, sedikit demi
sedikit akan mendapat taufik dan hidayah daripada Allah.
MENGIMBAS KEMBALI UCAPAN ALMARHUM NIK AZIZ MENOLAK PINDAAN AKTA 355 PADA 1984
Berikut
adalah teks ucapan perbahasan oleh Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat
ketika membahaskan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
1965 di Parlimen pada 11 Oktober 1984, Jam 4.48 ptg.
Tuan Yang di-Pertua,
Berhubung
dengan Rang Undang-undang yang dikemukakan sekarang iaitu Rang
Undang-undang Pindaan seksyen 2 Akta 23 tahun 1965, saya ingin menyebut
sedikit pendahuluan iaitu bahawa Islam sebagai satu cara hidup yang
dikemukakan oleh Tuhan yang sama dengan Tuhan yang mencipta manusia.
Islam itu telah mengadakan kaedah- kaedah untuk menjaga keselamatan kira
manusia.
Di antara kaedah-kaedah dan
peraturan yang diciptanya ialah denda dan hukuman yang mesti dikenakan
ke atas hamba-hambaNya yang bersalah. Bersalah mengikut nilai dan kaca
mata ajaran Allah dan syariatnya. Mengikut Islam maka denda dan
pembalasan yang dikena ke atas pesalah itu adalah dibahagi dua.
Satu diberi nama "al-hudud", yang kedua diberi nama "al-takzirat",
"Al-hudud"
bererti hukuman yang ditetap oleh Allah dan Rasulnya dan dia merupakan
perintah tetap yang mesti dipatuhi, tak ada siapa yang boleh berdalih
dan berdolak dalik kerana kuasaNya yang mutlak sebagai pencipta ataupun
Al-khaliq maka kita sekelian bersama isi alam yang kena jadi dan kena
cipta ini tidak ada pilihan lain kecuali terima dan patuh kerana kita
menjadi hak kepunyaanNya. Dia berhak menghukum dan memerintah ke atas
kita apa sahaja hukuman yang ditentukanNya.
Yang
satu lagi yang diberi nama al-takzir iaitu hukuman-hukuman yang Allah
berikan kita peluang untuk mengurus dan mengaturnya sendiri asalkan
tidak lari dari tujuan mengawal dan menjaga muslihat lima perkara yang
telah ditetapkan, iaitu akal fikiran, nasab atau titih barih, harta
benda, agama dan maruah atau disebut air muka.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya
katakan mukadimah ini sebagai mukadimah penting sebagai melahirkan
tidak setuju saya yang amat sangat terhadap ucapan yang dikemukakan oleh
Yang Berhormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu
membentangkan Rang ini.
Beliau menyebut di
halaman 68, walaupun Kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah untuk
menyekat kejadian jenayah di kalangan orang-orang Islam melalui
usaha-usaha agama seperti dakwah, ceramah-ceramah agama dan
penerangan-penerangan berhubung dengan Agama Islam, namun kes-kes
kesalahan jenayah terus berlaku.
Dari
kata-kata itu bolehlah difahamkan bahawa kerja mendenda dan menjatuhkan
hukuman ke atas pesalah itu bukan usaha agama bahkan yang disebut
sebagai usaha agama itu hanya berkisar di atas dakwah, ceramah dan
penerangan- penerangan berhubung dengan agama.
Sedangkan menjatuhkan denda dan hukuman juga adalah agama sepertimana yang disebut sekejap tadi.
Tuan Yang di-Pertua,
Rang
pindaan yang kita bahaskan ini walaupun tidak disenaraikan butir-butir
jenayah dan kesalahan yang akan dipergunakan Rang ini untuknya tetapi
pada hemat saya tentunya terdiri dari hanya denda-denda
kesalahan-kesalahan yang termasuk dalam lingkaran altakzir sahaja, bukan
al-hudud yang tidak boleh dipinda-pinda itu sekalipun negara kita masih
meminda-mindanya.
Tuan Yang di-Pertua,
Mengikut
apa yang diketahui umum bahawa mana- mana kesalahan atau jenayah itu
tidak akan dapat disekat dan tidak akan dapat dihapuskan dengan hanya
penggunaan undang-undang sahaja kecuali serentak dengan itu disertakan
sama usaha-usaha untuk menyekat dan menghapus semua sumber-sumber yang
dikira boleh menjadi punca bagi berlakunya kesalahan dan jenayah tadi
kerana Islam itu sendiri bergerak secara "syumul" sepertimana yang kita
lakukan ke atas penghisap- penghisap dadah, dengan erti bukan sahaja
orang yang menghisap dadah itu kita kenakan hukuman berat sampai mati,
tetapi kita kenakan juga ke atas yang mengedar dan memproses dadah
ataupun sebagainya, mereka pun kita kenakan hukuman berat juga sampai
mati.
Lepas itu kalau juga berlaku, bolehlah
disebut luar dari ikhtiar kita. Begitu jugalah keadaan kita sekarang,
kesalahan khalwat, rogol, mengajar ilmu salah dan sebagainya selagi
undang-undang sahaja kita pindakan dan hukuman sahaja yang kita
beratberatkan, tetapi punca khalwat dan berdua-duaan secara bebas
seperti yang ada semakin ketara wujudnya sekarang melalui perfileman,
persuratan, nyanyi-nyanyian yang mengandungi senikata yang menghairah
tambahan pula dengan video-video lucah, selagi punca-punca dan
sumber-sumber kesalahan ini tidak dipinda selaras dengan pindaan Rang
Undang-undang ini maka kejayaan yang diharap-harapkan adalah kabur dan
tidak akan sampai ke mana-mana.
Untuk mencegah
ajaran-ajaran palsu dan ilmu salah misalnya terdapat negeri-negeri yang
tidak membenar langsung pensyarah-pensyarah agama yang bukan sebulu
untuk memberi syarahan agama ditempatnya walaupun mereka datang dengan
nama kumpulan yang dikenali tidak melibatkan diri dengan mana-mana
pertubuhan yang diragui.
Akhirnya rakyat
setempat terpaksa hidup dalam masyarakat terkurung dan dengan sendirinya
mereka akan senang sahaja menerima apa sahaja ajaran didedah dan
diajarkan kepada mereka walaupun gurunya mendakwa dirinya sebagai
"Saidina Ali" atau wali Allah dan sebagainya.
Saya
minta supaya dibebaskan rakyat dari sekatan-sekatan mencari ilmu,
berilah peluang kepada mereka mendengar, mengkaji dan bersoal jawab
dengan mana-mana pensyarah, mana-mana penceramah yang berlandaskan Quran
dan Hadis dengan sepenuhnya kerana itulah sahaja ajaran yang sebenar.
Kalau
peluang yang begini masih dikenakan syarat-syarat yang ketat di bawah
bermacam-macam nama dan istilah maka kesan dari undang-undang ini bukan
sahaja tidak sampai ke mana-mana tetapi tambah menebalkan lagi kurungan
dan pemisahan di antara masyarakat dan aktiviti ilmiah yang sebenar.
Tuan Yang di-Pertua,
Akhir
kata saya minta dengan pindaan-pindaan seperti ini tidaklah hanya
setakat atau sekadar membawa taraf Mahkamah- mahkamah Syariah yang ada
sekarang akan setanding dengan Mahkamah-mahkamah Majistret sepertimana
kenyataan yang dibuat oleh pembentang Rang ini tetapi sepatutnya Yang
Berhormat itu membuat kenyataan bahawa pindaan ini boleh menyatukan dua
jenis kehakiman yang sedang berjalan sekarang, sivil dan syariah supaya
menjadi satu corak kehakiman sahaja iaitu syariatullah sahaja.
Sekian terima kasih.
Ulasan Blog - Dalam
ucapan tersebut dapatlah difahami bahawa asas penolakan Almarhum Nik
Aziz terhadap pindaan Akta 355 ketika itu ialah kerana hukuman yang
dicadangkan dalam pindaan itu tidak mencapai hukuman yang diperuntukkan
dalam Islam.
Soalnya, apakah hukuman yang dicadangkan kali ini sudah menepati kehendak Islam?
Adakah di dalam Islam, misalnya hukuman denda RM100 ribu?
Dalam
masa yang sama, jika diperhatikan dalam pembentangan Hadi dan ucapan
menyokong oleh Takiyuddin, kedua-duanya juga menyebut bahawa pindaan
yang dicadangkan bukan hudud, sebaliknya hanya untuk menaikkan taraf
Mahkamah Syariah sahaja.
Jadi,
kenapa ada yang kecoh-kecoh dan mengaitkannya dengan rosak iman, gugur
akidah, puasa sembahyang tak diterima jika menolaknya Akta 355 itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.