ANTARAPOS.COM
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengeluarkan surat
tunjuk sebab kepada Nanyang Siang Pau berhubung karikatur berunsur
menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan hari
ini, berkata akhbar berkenaan diberi masa selama tiga hari bagi
menjawab surat tunjuk sebab berkenaan.
Ujarnya juga, perbuatan itu mungkin memudaratkan ketenteraman awam,
kerana menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan,
kebencian dan prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.
"Ia juga secara tidak langsung seolah-olah mempersendakan Parlimen dan
agama Islam kerana Rang Undang-undang (RUU) 355 yang digambarkan dalam
karikatur itu adalah berkait dengan hal ehwal agama Islam.
"Sehubungan itu, satu surat tunjuk sebab bertarikh hari ini (11 April
2017) dikeluarkan kepada akhbar harian berkenaan di bawah Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.
"Penerbit Nanyang Siang Pau Sdn Bhd diberi tempoh tiga hari untuk
menjawab surat tunjuk sebab ini dan tindakan selanjutnya akan diambil
berdasarkan peraturan serta prosedur yang ditetapkan," katanya.
Nanyang Siang Pau pada Sabtu lalu menyiarkan karikatur dua ekor monyet, merujuk kepada Abdul Hadi dan Pandikar Amin.
Karikatur yang disiarkan dalam versi cetak dan online bertajuk 'Akta
Monyet' menunjukkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai
'speaker' manakala seekor lagi memakai serban bertenggek di pokok ‘Akta
355’.
Ia diterbitkan dua hari selepas Abdul Hadi membentangkan Rang
Undang-Undang (RUU) persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 pada Khamis lalu.
Akhbar itu bagaimanapun semalam telah membuat permohonan maaf dan
menyatakan karikatur yang turut disiarkan di laman web berita di
eNanyang.my telah ditarik balik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.