BUKIT MERTAJAM: PAS sudah bersedia untuk mengambil alih pentadbiran
Kedah daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Umum ke-14
(PRU14), kata Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad
Zawawi Nik Salleh.
Beliau berkata PAS akan meletakkan calon untuk memastikan
sekurang-kurangnya PAS dapat memenangi majoriti kecil untuk tubuh
kerajaan.
Antara sebab kami mengadakan Muktamar PAS Ke-63 di Kedah tahun ini
ialah untuk menonjolkan bahawa kita sudah bersedia untuk memenangi PRU14
di Kedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PAS
Pulau Pinang di Yayasan An-Nahdhoh di sini hari ini.
Muktamar PAS yang dijadual berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada
27 April hingga 1 Mei ini bakal menyaksikan pemilihan barisan
kepimpinan baharu untuk menghadapi PRU14.
Beliau berkata anggota PAS telah membuat pelbagai kajian terperinci di
Kedah dan hasil kajian itu mendapati PAS masih mendapat sokongan yang
baik di kalangan rakyat Kedah.
"Mengikut kajian yang kita buat ke atas penduduk Kedah yang berbilangan
kaum, mendapati bahawa mereka masih menyokong PAS untuk tubuh kerajaan
di negeri itu, jadi kami akan letakkan lebih ramai calon," kata Nik
Muhammad Zawawi.
Kali terakhir PAS memerintah Kedah ialah pada 2008 apabila berjaya
memenangi 16 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala PKR menang empat
kerusi dan DAP satu kerusi.
Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof berkata
PAS juga akan bertanding lebih banyak kerusi DUN dan Parlimen di Pulau
Pinang dalam PRU14.
Beliau berkata PRU akan datang tidak sama seperti PRU lepas dan PAS
negeri sudah bersedia dari segala sudut termasuk menghadapi pertembungan
tiga penjuru.
"Jika dalam PRU13 kita hanya bertanding enam kerusi DUN dan dua kerusi
Parlimen, kali ini kita akan bertanding lebih daripada itu," katanya.
Tambahnya PRU14 dijangka diadakan lebih awal dan jentera pilihan raya
PAS peringkat kawasan mestilah diaktifkan dan berada dalam mode bersedia
manakala bilik gerakan mesti dibuka sebelum Jun 2017.
Pada PRU13, PAS Pulau Pinang hanya memenangi satu kerusi DUN iaitu di Permatang Pasir menerusi Datuk Mohd Salleh Man.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.