ANTARAPOS.COM
JOHOR BHARU: Pemuda PAS Johor semalam sebulat suara meluluskan usul supaya kerjasama politik parti itu dengan PKR diputuskan.
Turut diluluskan adalah usul supaya PAS merampas semula kerusi parlimen
Batu Pahat "yang dipinjamkan" parti itu kepada PKR pada pilihan raya
umum (PRU) lalu.
Kerusi itu kini diisi Datuk Idris Jusi yang mengetepikan pemimpin kanan
Umno, Datuk Dr Puas Zarkashi dengan majoriti 1,732 undi.
Dalam kenyataannya malam tadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad
Nawfal Mahfodz, berkata usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dibawa
perwakilan Pasir Gudang pada mesyuarat tahunan mereka semalam.
"Pemuda PAS Johor dengan ini bertekad untuk melebarkan kemenangan PAS
di bumi Johor Darul Takzim pada PRU ke-14 nanti," katanya.
Usul supaya PAS menamatkan kerjasama dengan PKR bukanlah baru. Sebelum
ini beberapa kawasan di Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan
juga pernah menerima usul berkenaan.
Bagaimanapun keputusan muktamad mengenai isu itu akan diputuskan pada
muktamar tahunan PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah akhir bulan ini.
Kenyataan Ahmad Nawfal itu dibuat hanya beberapa hari selepas
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, mendakwa parti itu
tetap menjemput wakil daripada PKR jika ada mesyuarat atau ceramah.
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS berkata, jika boleh parti itu mahu meneruskan hubungan sedia ada dengan PKR.
Namun jika diputuskan PAS akan bersendirian nanti, kata Mahfodz, ia akan dihadapi sama ada suka atau tidak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.