ANTARAPOS.COM
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini
enggan memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak bersabit video dimuat
naik di Facebook yang mendakwa kerajaan mengabaikan semua Rang
Undang-Undang bagi memberi keutamaan kepada Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355.
“Saya dengan ini berpegang kepada komen saya. Oleh itu, saya tidak akan
menarik balik kenyataan itu, atau mengeluarkan video tersebut, mahupun
membuat permohonan maaf terbuka kepada perdana menteri ataupun membayar
pampasan kepada Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan.
Petang semalam, peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun menyerahkan
surat tuntutan Najib atas kapasiti peribadinya kepada Pua, mendakwa
pemimpin DAP itu membuat kenyataan fitnah di bawah tajuk “BN Govt
Abandons all Bills to give precedence to PAS’ RUU355 Private Member’s
Bill”.
Ia dimuat naik sejurus selepas pembentangan RUU 355.
Penyerahan surat itu turut dirakamkan kru TV3 yang tiba di pejabat Pua.
“Bertentangan dengan kenyataan fitnah anda, anak guam kami bukannya
kleptokrat yang zalim dan menindas serta mengelak kritikan, atau
pemimpin yang terlibat dalam amalan rasuah atau mencuri wang rakyat,”
menurut surat tuntutan itu, yang memberi Pua 7 hari menerbitkan
permohonan maaf sepenuhnya disiarkan dalam dua akhbar dan mengeluarkan
video tersebut dengan serta merta.
“Dakwaan palsu dan tidak berasas sama sekali oleh anda itu bertujuan
meremehkan kedudukan tinggi politik anak guam kami, reputasi baik beliau
di dalam negara dan antarabangsa. Dengan berbuat demikian, anda
bertindak dengan berniat jahat,” katanya.
Pua hari ini berkata apa yang dimuat naik olehnya adalah berasaskan “fakta yang tidak dipertikaikan”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.