Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Nik Adli Nik Abdul Aziz, anak kepada bekas Mursyidul Am
PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menyanggah cadangan mewujudkan
satu lagi Institut Pemikiran Tok Guru.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap cadangan yang diusulkan
exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wan Ji Wan Hussin semalam.
"Kerajaan (negeri) Kelantan sudah buat Institut Pemikiran Tok Guru,
beritahu dia (Wan Ji) begitu," katanya ringkas kepada Antarapos, hari
ini.
Untuk rekod kerajaan negeri Kelantan menubuhkan Institut Pemikiran Tok
Guru (IPTG) di Kota Darul Naim yang berperanan sebagai sebuah pusat
rujukan, latihan dan pengembangan dasar Membangun Bersama Islam.
IPTG juga turut dikenali sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) untuk urusan pentadbiran Kelantan.
IPTG wujud selepas Datuk Ahmad Yakob dilantik sebagai menteri besar,
malah Nik Aziz juga dilantik sebagai Penasihat dan Murabbi IPTG pada
September 2013.
Wan Ji, yang juga bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor
ketika menjadi salah seorang pembentang di Seminar Pemikiran Tok Guru
Nik Aziz semalam menyifatkan Nik Aziz mempunyai corak politik yang unik,
yang mana dapat membezakan musuh atau kawan dengan jelas.
Dalam seminar yang dianjurkan Amanah itu, Wan Ji juga berkata Nik Aziz
berjaya memanfaatkan akal dalam agama dan politik, sekaligus berbeza
dengan pembawaan PAS pada hari ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Institut Pemikiran Tok Guru
diwujudkan bagi meneruskan lagi gaya pemikiran bekas menteri besar
Kelantan itu.
Sebelum ini keluarga Allahyarham Nik Aziz menyelar tindakan beberapa
bekas pemimpin PAS yang menggunakan nama pemimpin itu untuk
'menghalalkan' tindakan mereka demi kepentingan politik, termasuk untuk
menyertai Amanah, sebuah parti serpihan PAS.
Terbaru satu laporan polis dibuat keluarga berkenaan selepas Amanah
menggunakan nama Nik Aziz dalam penganjuran Seminar Pemikiran Tok Guru
Nik Aziz di di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)
semalam.
Nik Adli berkata keluarganya tidak pernah bersetuju nama almarhum
bapanya digunakan untuk program berkenaan yang bertujuan mahu menarik
lebih ramai orang menyertai Amanah.
Malah ujarnya, penggunaan nama itu dengan tidak mendapat persetujuan
keluarganya telah memberi imej buruk kepada Allahyarham dan keluarga
yang seolah-olah mengambarkan mereka menyokong perjuangan Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan