Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim menyifatkan tindakan Pengerusi
Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyerahkan memorandum
bantahan mendakwa beliau membawa masuk ‘pengundi hantu’ pada pilihan
raya akan datang, sebagai satu perkara yang melucukan.
Sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah, Suee Lim berkata
tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu hanya kerana mahu meraih
publisiti murahan.
“Saya berasa lucu dan geli hati nampak gelagat dan cara Jamal berlakon
mencari publisiti murahan daripada media-media ini kononnya saya bawa
pengundi hantu sebanyak 1,800 masuk ke Sekinchan.
“Ini satu tuduhan dan fitnah kerana yang membawa pengundi hantu
sebenarnya adalah Datuk Seri Jamal ke Sekinchan dan saya telah membuat
bantahan pada suku keempat 2016, lebih 1,200 bantahan saya berjaya
diterima SPR dan ‘hantu-hantu’ itu semua tak muncul waktu perbicaraan
siasatan awal dijalankan,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Jamal awal hari ini hadir ke pejabat SPR Selangor bagi menghantar
memorandum bantahan terhadap senarai nama pengundi ragu yang didaftarkan
di dalam DUN Sekinchan.
Beliau mendakwa Ng Suee Lim 'mengangkut' sejumlah pengundi hantu bagi
memastikan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
Membidas tindakan Jamal, Suee Lim berkata pemimpin Baju Merah itu sekadar membuat dakwaan tanpa bukti yang kukuh.
Bahkan katanya, tindakan Jamal yang membuat bantahan di SPR hari ini
'sia-sia' kerana telah melebihi tarikh sebenar untuk membuat bantahan
iaitu pada 22 Mei lepas.
“Jamal datang (SPR) tuduh 1,800, mana fakta dia, bila dia adu kepada
SPR, bila ada siasatan umum? Dan hari ini pun sudah lepas tarikh
bantahan iaitu 22 haribulan selewat-lewatnya, kalau betullah, jadi saya
rasa pelik dan lucu dengan Jamal yang mencari publisiti ini.
“Saya nak bagi tahu Jamal tersalah, hari ini dah lepas tarikh bantahan,
tarikh bantahan tamat 22 Mei ini untuk untuk bantahan, tetapi beliau
buat hari ini dan tarikh itu telah silap.
“Pada masa terdekat, pada minggu depan saya akan bongkar lagi satu
bukti jelas dan nyata di Sekinchan bagaimana Jamal membawa ‘pengundi
hantu’ masuk ke Sekinchan untuk suku pertama daftar pemilih tahun 2017,"
ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan