SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis berkata hasil kajian
Invoke Malaysia berkaitan calon perdana menteri paling popular untuk
PRU14 sebagai 'syok sendiri'.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengulas kajian
badan bukan kerajaan (NGO) di bawah penyelarasan Naib Presiden PKR,
Rafizi Ramli, sebagaimana diumumkan semalam.
"Bila menang boleh buatlah. Kalau tak menang, bubuh nama, itu syok
sendiri," katanya selepas menghadiri program ceramah di Kampung Baru
malam tadi.
Dr Mahathir juga menambah senarai nama itu tidak bermakna sekiranya
pembangkang gagal membuktikan kemenangan mereka di dalam pilihan raya
akan datang.
"Kalau tak menang, sesiapa pun tak boleh jadi PM. Yang utama, menang.
Kalau nak jadi calon, siapa pun boleh jadi," demikian reaksi Mahathir.
Rafizi, pada semalam mengumumkan kajian NGO yang diketuainya mendapati
bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menjadi pilihan
berbanding pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Kajian yang dilakukan terhadap 17,962 orang responden mendapati 31
peratus memilih Najib, 28.5 peratus memilih calon dari PH manakala 6.1
peratus memilih Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Manakala, 34.4 peratus daripada responden berkenaan tidak menjawab.
Dalam pada itu, daripada lapan calon pemimpin PH, Ketua Umum PKR Datuk
Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan utama di kalangan penyokong
pembangkang untuk menjadi perdana menteri.
Kaji selidik menerusi telefon itu meletakkan Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang di tempat kedua manakala Pengerusi Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sekadar di tangga
ketiga.
Hampir 6,200 atau 34.6 peratus daripada 18,000 responden yang menjawab
soalan berhubung pilihan mereka sebagai perdana menteri memilih pemimpin
pembangkang.
Daripada jumlah itu, 23.5 peratus memilih Anwar, 17.6 peratus memilih Hadi, manakala 16.5 peratus memilih Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.