Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos
hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di
sini pagi ini bagi memfailkan laporan rasmi agar siasatan dilakukan
berhubung pembinaan projek di kawasan Paya Indah Wetlands.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu yang tiba kira-kira pukul 10.30
pagi, menggesa siasatan menyeluruh dilakukan ke atas semua pihak yang
terlibat kerana mendakwa wujud unsur penyelewengan wang dalam projek
berkenaan.
"Hari ini kami datang ke pihak SPRM untuk membuat laporan supaya tindakan diambil kepada pelaku jenayah curi ini.
"Kenapa kerajaan negeri sehingga tanahnya licin, botak tanahnya dicuri
masih lagi tutup mata. Dimana Pengarah Perhutanan Negeri Selangor ini?
Adakah beliau mengikut telunjuk Menteri Besar ataupun ada perkara lain.
"Saya yakin perkara ini salah laku kuasa penyelewengan dan rasuah. Itu
sebab kami datang ke pejabat SPRM untuk pihak berkuasa menjalankan
siasatan," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan laporan hari ini dibuat terhadap beberapa yang didakwa terlibat dalam isu tersebut.
"Ya terutamanya terhadap Jabatan Perhutanan, Negeri Selangor, syarikat
Gamuda dan mungkin juga ada lagi sub syarikat yang disubkan oleh Gamuda
dan dapat kontrak dari Gamuda untuk menimbus kawasan tersebut,"
tambahnya.
Ketika ditanya bagaimana beliau memperoleh maklumat berkaitan
'penyelewengan' tersebut, ujar Jamal, maklumat diperoleh daripada kajian
NGO, aduan penduduk dan beberapa pihak namun enggan mendedahkannya
secara terperinci.
Semalam, dalam sidang media Jamal mempersoalkan sama ada Pengarah
Jabatan Hutan Negeri menerima arahan daripada Menteri Besar Datuk Seri
Azmin Ali untuk 'menutup mata' berhubung pembinaan projek di kawasan
Paya Indah Wetlands tersebut.
Katanya, beliau yakin 'arahan' sedemikan wujud memandangkan masih tiada
tindakan oleh Jabatan Hutan Negeri terhadap projek itu walaupun setelah
beberapa kali pendedahan mengenai kesan pembinaan projek tersebut
dilakukan oleh beliau.
Jamal sebelum ini pernah mendesak Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR
untuk menjelaskan desas-desus kononnya PKR mendapat sebahagian habuan
daripada keseluruhan RM30 bilion untuk tujuan persediaan Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Isu pembinaan projek bandar baru di kawasan Paya Indah Wetlands menarik
perhatian ramai selepas dibongkarkan Penyelaras Solidariti Anak Muda
Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.
Badrul Hisham atau Chegubard sebelum ini mendedahkan Azmin meluluskan
permohonan menukar status tanah di lot 68054, daripada zon pertanian
kepada zon pembangunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan