SHAH ALAM: Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
menasihatkan tiga exco PAS di negeri itu agar menghargai kepercayaan
yang diberikan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mandat rakyat pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Ujarnya, keputusan baginda mengekalkan tiga exco berkenaan dalam pentadbiran negeri adalah satu tindakan yang cukup bijaksana.
"Saya ucapkan tahniah kepada ketiga-tiga exco terbabit iaitu Datuk
Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, dan Zaidy Abdul Talib yang
mendapat kepercayaan tuanku untuk terus berkhidmat kepada kerajaan
negeri Selangor.
"Amat penting bagi ketiga-tiga mereka untuk memberi sepenuh komitmen
dalam memastikan perkhidmatan yang cekap, telus dan bertanggungjawab,"
katanya dalam satu kenyataan.
ADUN Pelabuhan Klang itu juga menambah, semua exco berkenaan
melaksanakan manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada pilihan raya lalu,
khususnya dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri air
Selangor.
"Zaidy yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan pengambilalihan
industri air di Selangor perlu mengkaji semula keputusan kerajaan negeri
membayar syarikat konsesi Splash sebanyak RM2.8 bilion atau lebih 10
kali ganda daripada nilai ekuiti asal.
"Diharapkan Exco PAS juga dapat menyiasat dakwaan awam bahawa terdapat
salah guna kuasa dalam aktiviti perlombongan pasir dan aktiviti
perlombongan pasir haram yang kian berleluasa di negeri ini.
"Tambahan, kita turut dikejutkan dengan berita terdapatnya manipulasi
dalam penjualan hartanah milik kerajaan yang hanya menguntungkan
syarikat-syarikat pemaju serta tidak memberi manfaat yang sepatutnya
kepada kerajaan negeri," katanya.
Katanya, beliau tidak akan berhenti menuntut agar pentadbiran sedia ada
meletakkan kepentingan rakyat di tempat utama dalam membuat keputusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.