SHAH ALAM: Program Transformasi Nasional (NTP) membuktikan Malaysia
mempunyai asas ekonomi yang kuat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, bagaimanapun, negara masih boleh
mencapai kejayaan yang lebih baik jika Malaysia mampu menggarap sentimen
dalam kalangan pelabur asing dan domestik.
"Saya ingin mengucapkan tahniah secara peribadi dan secara rasmi kepada
Perdana Menteri atas pencapaian luar biasa pada tahun 2016 dan
pencapaian dalam pelbagai bidang di luar ekonomi itu amat mengagumkan.
"Dari segi pencapaian ekonomi kita mengetahui bahawa secara dasarnya,
negara kita mempunyai asas yang kukuh," katanya kepada pemberita.
Beliau mengulas pembentangan laporan Tahunan Program Transformasi
Nasional 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan
Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, biarpun kadar jenayah berjaya
menunjukkan penurunan pada tahap 47 peratus dalam keadaan menghadapi
pelbagai cabaran, ia masih belum memuaskan hatinya.
"Biarpun pelbagai persepsi kita terpaksa depani namun hakikatnya ialah perangkaan berdasar pada pencapaian PDRM selama ini.
"Ini (masih) tidak puaskan hati saya, sebaliknya kami akan terus
berusaha untuk menentukan agar dapat mencapai penurunan kadar jenayah
dengan lebih baik lagi," katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk
Seri Rohani Karim berkata, program 1AZAM yang diperkenalkan sebelum ini
sememangnya menunjukkan impak yang besar kepada rakyat.
"Setiap kali ada laporan laporan tahunan dibentangkan, program itu
menunjukkan hasil yang baik. Keduanya, saya sangat berpuas hati kerana
wanita termasuk dalam pembuat dasar selain memegang jawatan tinggi dalam
pelbagai sektor.
"Ini menunjukkan hasil program kita untuk pastikan wanita-wanita
bekerjaya mencapai matlamat. Menjelang 2020 saya perlu memastikan 59
peratus wanita Malaysia dalam alam pekerjaan.
"Walaupun pada ketika ini
kita sudah berada pada paras 30 peratus wanita dalam kalangan pembuat
dasar, masih banyak yang perlu dilakukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.