Mandeep Singh
SEJAK kebelakangan ini, rakyat Malaysia sering membaca berita
mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi PAS pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) nanti. Kebanyakan pengundi, penyokong, bekas ahli dan
penyokong PAS dilihat keliru dengan semua pengumuman yang dibuat
kepimpinan parti Islam itu.
Mari kita melihat semula kenyataan yang dikeluarkan pemimpin PAS sejak 9 April hingga 14 Mei, 2017 lalu.
Pada 9 April, 2017, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyatakan PAS akan
bertanding 80 kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk kerusi
dimenangi DAP dan PKR di Wilayah Persekutuan.
Namun pada 27 April, 2017, bekas ketua Pemuda PAS yang penuh karisma
dalam sejarah kepimpinan Dewan Pemuda iaitu Nik Abduh berkata, PAS yakin
memenangi 40 kerusi Parlimen dan menawan lima negeri.
Antara negeri yang dinamakan bakal diperintah adalah Kedah Darul Aman
di mana berlangsungnya
Muktamar PAS lalu. Walaupun jumlah kerusi
Parlimen kurang 50% daripada Idris, namun semangat menawan lima negeri
amat mengagumkan.
Tetapi nada yang berbeza pula kedengaran daripada Ketua Penerangan
PAS Pusat Nasrudin Hassan pada 14 Mei lalu yang berkata ia akan
bertanding 100 kerusi Parlimen.
Namun, wakil rakyat Temerloh ini tidak menceritakan tentang menawan
lima negeri. Mungkin ini strategi beliau untuk tidak berkongsi informasi
negeri mana bakal ditawan supaya tidak disabotaj mana-mana pihak
terutama DAP.
Setelah membaca tiga kenyataan ini, saya menjadi amat keliru untuk
memahami bagaimana PAS akan menawan Putrajaya. Saya menjadi amat keliru
kerana jumlah kerusi minima yang harus dimenangi sesebuah parti atau
gabungan untuk menawan Putrajaya adalah 112.
Lima hari, lima malam saya mengira menggunakan kalkulator dengan
pelbagai formula Matematik dan Matematik Tambahan, tetapi tetap gagal
mendapat angka 112.
Maka, jelas PAS tidak mungkin akan menawan Putrajaya jika hanya bertanding 100 kerusi Parlimen.
Di sini, saya ingin mencadangkan kepada PAS untuk bertanding 222 kerusi Parlimen pada PRU14 nanti.
Ini kerana, hanya dengan bertanding lebih 112 kerusi akan membantu
PAS menawan Putrajaya dan hanya dengan cari ini, cita-cita Nasrudin
untuk memastikan 2/3 ahli Dewan Rakyat beragama Islam akan dapat
direalisasikan.
PAS hari ini merupakan kapten dalam Gagasan Sejahtera yang dibentuk
bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia yang diterajui bekas menteri Abdul
Kadir Sheikh Fadzir.
PAS kini tidak perlu risau tentang perundingan kerusi dengan PKR,
DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana ia tidak
berada dalam Pakatan Harapan (PH).
Dan kini, PAS sudah tiada jalinan politik bersama PKR kerana pada
Muktamar PAS lalu sebulat suara memutuskan hubungan tahaluf-siyasi
antara dua parti ini. Soal kenapa exco tidak letak jawatan di Selangor
lagi, kita tolak tepi dahulu.
Sebagai sebuah politik yang tertua dan berpengalaman dalam arena
politik di Malaysia, PAS sepatutnya menggunakan peluang keemasan ini
untuk bertanding di semua kerusi Parlimen kerana hanya dengan cara ini
sahaja, PAS akan berjaya menunjukkan kepada parti lawan tidak kira
Barisan Nasional (BN) atau PH dan terutamanya DAP yang ia bukan parti
"cakap tak serupa bikin".
Dengan ini juga PAS akan berjaya menunjukkan kepada semua yang ia
tidak memerlukan pertolongan mana-mana pihak untuk memenangi PRU dan
seterusnya memerintah Malaysia.
Ya, kita sering mendengar analisa tentang PAS tidak akan mampu
memenangi apa-apa kerusi DUN di Selangor jika bergerak bersendirian
dalam pilihan raya. Memang betul, PAS hanya berjaya memenangi lapan
kerusi pada PRU12 ketika berkerjasama dengan DAP dan PKR. Dan
kemudiannya, memenangi 15 kerusi pada PRU13.
Tetapi kini, situasinya sudah berbeza. Kepimpinan PAS hari ini
terdiri daripada pelbagai tokoh yang penuh berpengalaman dalam arena
politik yang menghasilkan pelbagai analisis tentang bagaimana mereka
akan berjaya menawan Selangor. Sebahagian daripada mereka mempunyai
pangkat kedoktoran.
Kini sudah tiba masanya PAS menunjukkan taring dalam politik
Malaysia. Cukuplah selama ini berkompromi dengan parti yang tidak pernah
menghargai peranan dan bantuan PAS selama ini. Kalau sebelum ini,
semuanya harus dibincang bersama ahli gabungan, tetapi kini PAS tidak
perlu melalukannya lagi kerana PAS bersendirian.
PAS akan dilihat sebagai parti yang lemah dan kecil jika hanya
bertanding 100 kerusi. PAS akan diperlekehkan jika hanya bertanding 100
kerusi. Apakah PAS mahu diperlekehkan lagi oleh rakyat Malaysia?
Sudah pasti, PAS tidak mahu ini berlaku. Biarlah orang memperlekeh
PAS hari ini kerana ceramah PAS tidak mendapat sambutan seperti Bersatu
yang dihadiri ribuan orang, tetapi apa yang penting adalah terus
mengatur strategi memenangi PRU14 walaupun ceramah dihadiri 17 orang.
Saya yakin, PAS tidak akan punyai masalah mengenal pasti 222 calon
untuk bertanding di kerusi Parlimen, kerana PAS punyai ramai pemimpin
berkaliber dalam kepimpinan hari ini.
Saya juga dengan rendah hati ingin mencadangkan agar Nasrudin
bertanding di kerusi Parlimen Bagan di Pulau Pinang. Saya berharap agar
BN tidak akan meletakkan calon di kerusi ini kerana biarlah Nasrudin
berdepan Lim Guan Eng.
PAS harus jadikan Bagan sebagai kerusi pertama dimenangi sebelum
sampai ke Putrajaya. Kerusi kedua yang harus menjadi sasaran PAS adalah
Seputeh. Jikalau Nik Abduh yang bertanding kerusi ini, saya yakin ia
kerusi kedua bakal dimenangi PAS.
Sebagai langkah pertama untuk menawan Putrajaya dan menunjukkan
kehebatan PAS, saya mencadangkan ia bertanding DUN Pujut pada PRK yang
akan berlangsung pada 4 Julai nanti.
PAS boleh menjadikan Pujut sebagai satu batu loncatan menawan Putrajaya. PAS boleh menggunakan slogan “Dari Pujut ke Putrajaya”.
Akhir sekali, harapan besar saya adalah untuk melihat Nasrudin
menjadi menteri belia dan sukan kerana saya amat yakin beliau akan
berjaya membawa penyatuan kaum muda di Malaysia dan juga memulihkan
sektor kesukannya tanah air kita.
Oleh itu, saya amat berharap PAS akan mengkaji semula cadangan tiga
pemimpin ini yang hanya mahu bertanding 40, 80 dan 100 kerusi sahaja.
PAS harus bertanding 222 kerusi. Lagipun, kos untuk bertanding 222
kerusi hanya RM2.2 juta yang saya percaya PAS mampu mengumpulkannya
melalui fund-raising daripada ahlinya. – 24 Mei, 2017.
* Mandeep merupakan seorang bekas penghuni di rumah pasong
Jinjang dan juga merupakan seorang yang berbangsa “dan lain-lain”.
Berkicau di @mandeepkarpall
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.