KUALA LUMPUR: Polis akan mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan
negara, terutama di perairan bersebelahan dengan Filipina berikutan
pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Filipina, Rodrigo
Duterte di wilayah Mindanao, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu
Bakar.
"Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berhati-hati
dengan apa yang berlaku di negara jiran, Filipina," katanya lapor
Bernama.
Berikutan pengisytiharan itu, tentera Filipina telah mengarahkan lebih
200,000 penduduk di bandar Marawi, Mindanao untuk meninggalkan rumah
mereka sebelum jam 1.00 tengah hari ini.
Perintah itu dikeluarkan sejurus selepas jurucakap Duterte, Ernesto
Abella membuat pengumuman bagi pihak presiden mengisytiharkan
undang-undang tentera di rantau ini semalam, selepas pertempuran sengit
antara tentera dan kumpulan militan Daesh.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang tidak mahu dikenali
berkata, kebanyakan penduduk bersetuju dengan arahan tentera, dan
berpindah ke bandar di Zamboanga, Pagadian dan Cotabato, kira-kira 10
hingga 12 jam dari Marawi.
Penduduk itu ketika dihubungi oleh Bernama News Channel melalui
WhatsApp, berkata terdapat banyak sekatan jalan oleh tentera dan
pemeriksaan keselamatan ketat di sepanjang jalan untuk mengenalpasti
militan, terutamanya daripada Daesh dan Abu Sayyaf.
Presiden Duterte sebelum ini telah memberi amaran bahawa undang-undang
tentera di Mindanao akan dikuatkuasakan untuk sehingga setahun jika
diperlukan, bagi membendung keganasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.