GEORGETOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menganggap prinsip
Cekap, Telus dan Amanah (CAT) yang dilaungkan kerajaan negeri pimpinan
DAP telah 'mati', susulan pelbagai kepincangan dalam pentadbiran yang
berjaya dibuktikan wakil rakyat BN sepanjang sidang DUN berlangsung.
Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata, setakat
ini sahaja kerajaan negeri dikenal pasti gagal menunaikan 51 janji yang
dibuat sejak mentadbir Pulau Pinang, yang antara lain seiring dengan
usia penubuhan DAP ke-51, pada tahun ini.
"BN negeri juga sudah membuktikan bahawa kerajaan negeri pimpinan DAP
menjual tanah dalam kuantiti yang banyak dan ia berlaku sepanjang
pentadbiran mereka.
"Tanah berkenaan sepatutnya dibangunkan sendiri oleh Perbadanan
Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk projek kesejahteraan dan bukannya
diberi kepada pemaju swasta.
"Situasi ini sekali gus membuktikan kerajaan negeri lebih mementingkan
kepentingan sektor swasta dan projek mega, berbanding keperluan rakyat,"
katanya pada sidang media di Bangunan DUN Pulau Pinang di sini, hari
ini.
Dalam pada itu, Jahara berkata, kegagalan Exco negeri menghadiri sidang
DUN yang sedang berlangsung, membuktikan pentadbiran mereka tidak
serius apabila meletakkan kepentingan persidangan itu di tempat kedua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan