Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang
menolak usul agar Menteri Besar negeri itu, Lim Guan Eng untuk bercuti
seketika menunjukkan Datuk Law Choo Kiang tunduk kepada desakan pihak
tertentu dalam membuat penilaian.
Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Ishak menyifatkan
Law telah gagal untuk bertindak secara profesional seterusnya
mengenepikan prinsip keadilan kepada rakyat.
“Speaker telah terkhilaf dalam menolak usul berkenaan kerana gagal
memahami definasi diantara ‘hilang kelayakan’ dan ‘digantung atau
bercuti sementara waktu’ sehingga dimuktamadkan prosiding perundangan
kes rasuah yang dihadapi oleh Ketua Menteri.
“Perlu dijelaskan bahawa tiada sebarang imuniti khas terhadap seorang
Ketua Menteri jika terdapat usul untuk digantung atau bercuti sementara
waktu atas fakta serta kemudaratan yang boleh menjejaskan pentadbiran
kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan kepada Antarapos.
Malah, Rahmad juga berpendapat bahawa Law takut dengan bayang-bayang
sendiri sehingga sanggup mengepikan amanat rakyat Pulau Pinang apabila
usul itu ditolak.
“Penolakkan usul berkenaan diluar konteks definisi sebenar dilihat
sebagai memperlekehkan mandat dari rakyat serta lebih kepada satu
keputusan takut pada bayang-bayang sendiri.
“Tambahan pula usul berkenaan telah ditolak lebih awal daripada hari persidangan DUN,” ujarnya lagi.
Hari ini, sidang DUN Pulau Pinang tegang apabila wakil Barisan Nasional
(BN) membantah keputusan Speaker yang menolak usul menuntut Ketua
Menteri, Lim Guan Eng bercuti sementara menunggu perbicaraan kes
rasuahnya selesai.
Ketegangan tercetus apabila, Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong)
tidak berpuas hati dengan penjelasan, Datuk Law Choo Kiang berhubung
perkara itu selain mendakwa jawapan bertulis speaker membabitkan
penolakan usul berkenaan juga tidak dinyatakan dengan jelas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan